Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kesalinghubungan Digital Perlu Mampu Milik Dan Berdaya Tahan - Fahmi

fahmi
Kredit: Bernama

Kesalinghubungan digital perlu melangkaui aspek liputan rangkaian dengan memastikan perkhidmatan yang disediakan mampu milik, boleh diharap dan berdaya tahan.

Iklan

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, kesalinghubungan yang bermakna perlu menyokong keperluan komuniti, perkhidmatan penting serta kegiatan ekonomi.

“Kesalinghubungan yang bermakna perlu melangkaui liputan rangkaian. Ia mestilah mampu milik, boleh diharap dan berdaya tahan, serta menyokong komuniti, perkhidmatan penting dan kegiatan ekonomi.

“Oleh itu, kami mengalu-alukan penekanan deklarasi ini terhadap infrastruktur digital yang berdaya tahan dan mampan, khususnya dalam memastikan kesinambungan komunikasi penting ketika kecemasan dan gangguan,” katanya ketika menghadiri pertemuan dua hala di luar acara Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) 2026 (PP-26) Doha, Qatar.

Fahmi berkata, Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha yang mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani peluang dan cabaran transformasi digital.

Jelasnya, deklarasi itu mencerminkan tiga keutamaan yang turut menjadi teras agenda digital negara, iaitu memastikan kesalinghubungan bermakna, menggalakkan keterangkuman digital serta mewujudkan persekitaran digital yang selamat dan dipercayai.

Beliau berkata, perkembangan teknologi yang pesat memerlukan usaha merapatkan jurang digital supaya semua pihak berpeluang menyertai dan menikmati manfaat ekonomi digital.

“Transformasi digital mesti mewujudkan peluang untuk semua, tanpa mengira tempat tinggal atau tahap kesediaan digital mereka.

“Bagi Kerajaan Malaysia, ini bermakna melabur dalam kemahiran digital, membangunkan keupayaan dan menyokong inovasi supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat ekonomi digital,” katanya lagi.

Kredit: Bernama

Dalam pada itu, Fahmi menegaskan bahawa negara membangun dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan tidak boleh ketinggalan seiring perkembangan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu.

Katanya, golongan berkenaan perlu diberikan peluang untuk menggunakan teknologi tersebut, selain turut membantu membentuk perkembangannya dan menikmati peluang yang diwujudkan.

Beliau turut menekankan kepentingan keselamatan siber, perlindungan kanak-kanak dalam talian serta pembangunan dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Menurutnya, inovasi perlu bergerak seiring dengan langkah perlindungan yang bersesuaian bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat untuk memanfaatkan teknologi digital.

Malaysia juga mengiktiraf peranan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dalam memperluas kesalinghubungan, membangunkan piawaian teknikal serta meningkatkan keupayaan menerusi kerjasama antarabangsa.

Intipati
  • Fahmi berkata kesalinghubungan digital perlu mampu milik, boleh diharap dan berdaya tahan.
  • Malaysia menyambut baik draf Deklarasi Menteri Doha mengenai peluang dan cabaran transformasi digital.
  • Beliau menekankan kemahiran digital, keselamatan siber dan penggunaan teknologi secara bertanggungjawab.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan