Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kes Covid-19 Di Singapura Cecah 12,700 Minggu Lalu, NB.1.8.1 Varian Utama

Sofea
Kes Covid-19 Di Singapura
Kredit: Anadolu Ajansi

Kes Covid-19 Di Singapura Cecah 12,700 Minggu Lalu, NB.1.8.1 Varian Utama

Singapura kini berdepan peningkatan kes Covid-19, dengan jumlah kes sebanyak 12,700 direkodkan pada minggu 10 Mei hingga 16 Mei, lapor The Straits Times.

Jumlah itu meningkat berbanding 8,000 kes pada minggu sebelumnya.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) dalam kenyataan berkata purata kemasukan harian pesakit Covid-19 ke hospital turut meningkat daripada 56 kepada 73 dalam tempoh sama, dengan purata satu kes ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) setiap hari.

Tambah agensi itu, hospital akut awam mampu mengendalikan peningkatan kes berkenaan.

CDA turut memaklumkan pihaknya sedang memantau peningkatan jangkitan di negara itu.

Kredit: The Straits Times

“Seperti penyakit pernafasan endemik lain, gelombang Covid-19 secara berkala dijangka berlaku sepanjang tahun.

“Tiada petunjuk bahawa varian yang sedang menular di peringkat tempatan lebih mudah berjangkit atau menyebabkan penyakit lebih teruk berbanding varian yang menular sebelum ini,” menurut agensi itu.

Menurut CDA, peningkatan itu mungkin disebabkan beberapa faktor, termasuk imuniti penduduk yang semakin menurun.

Varian NB.1.8.1 merupakan varian utama yang sedang menular di Singapura, merangkumi lebih separuh daripada kes tempatan yang dijujukkan.

Menurut CDA, vaksin semasa masih berkesan terhadap varian yang sedang menular ketika ini.

Sementara itu, golongan yang berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk, seperti mereka berusia 60 tahun dan ke atas termasuk penghuni fasiliti penjagaan warga emas, serta individu yang mudah terdedah dari segi perubatan berusia enam bulan dan ke atas, perlu memastikan vaksinasi mereka dikemas kini.

Petugas kesihatan serta individu yang tinggal atau bekerja dengan golongan mudah terdedah dari segi perubatan juga digalakkan mengambil vaksin.

Individu lain berusia enam bulan dan ke atas yang mahu mendapatkan vaksin Covid-19 masih boleh berbuat demikian.

CDA menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga serta mengamalkan tanggungjawab peribadi dan sosial dengan menjaga kebersihan diri, mengurangkan interaksi sosial dan perjalanan yang tidak perlu ketika tidak sihat, serta memakai pelitup muka apabila menunjukkan gejala Covid-19.