Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kereta Elektrik dan Keselamatan Jalan Raya: Fakta Atau Hype?
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kereta elektrik atau EV telah menjadi bualan hangat dalam kalangan penggemar automotif dan masyarakat umum. Ia bukan sahaja menarik perhatian kerana kelebihan mesra alamnya tetapi juga kerana reputasinya yang dikatakan lebih selamat berbanding kereta konvensional.
Dari laporan pakar keselamatan jalan raya hingga ujian pelanggaran antarabangsa, EV sering digembar-gemburkan sebagai kenderaan yang memberikan perlindungan maksimum kepada pemandu dan penumpang. Namun persoalannya sering timbul. Adakah semua dakwaan ini benar-benar fakta atau sekadar hype teknologi terkini yang menarik perhatian masyarakat moden?
Untuk memahami isu ini, kita perlu meneliti beberapa aspek penting yang membentuk keselamatan EV. Daripada rekabentuk fizikal dan lokasi bateri hingga kepada teknologi bantuan pemandu dan struktur kabin yang canggih. Setiap elemen ini memainkan peranan kritikal dalam menentukan sejauh mana EV mampu melindungi penggunanya semasa kemalangan.
Artikel ini akan membongkar kebenaran di sebalik dakwaan bahawa EV adalah antara kenderaan paling selamat. Selain itu, ia juga akan menilai sama ada kelebihan keselamatan ini benar-benar fakta atau sekadar sebahagian daripada marketing hype yang kreatif.
Salah satu keistimewaan EV yang paling ketara ialah susunan baterinya yang besar dan berat. Biasanya ditempatkan di bahagian bawah kenderaan. Reka bentuk ini menempatkan pusat graviti EV pada tahap yang sangat rendah.
Keadaan ini dapat membantu kenderaan kekal stabil ketika membelok pada kelajuan tinggi atau melalui selekoh tajam. Dengan kestabilan yang lebih baik ini, risiko kereta tergelincir atau terbalik berkurang dengan ketara. Ianya secara langsung dapat memberikan pemandu lebih keyakinan dan kawalan sewaktu memandu dalam pelbagai keadaan.
Keistimewaan ini juga membuktikan bahawa keselamatan bukan sahaja bergantung pada teknologi canggih tetapi juga pada asas reka bentuk fizikal kenderaan itu sendiri.
Tidak seperti kereta petrol atau diesel konvensional, EV tidak mempunyai enjin besar di bahagian hadapan. Kekosongan ini membolehkan pengeluar membina zon remuk (crumple zone) yang lebih luas. Zon ini direka supaya bahagian hadapan kereta dapat menyerap tenaga hentakan semasa kemalangan.
Apabila berlaku pelanggaran, tenaga hentakan akan diserap oleh struktur hadapan yang fleksibel serta mengurangkan kesan ke atas kabin penumpang dan seterusnya mengekalkan keselamatan mereka. Strategi ini menunjukkan bagaimana EV bukan sahaja fokus pada kelajuan dan prestasi tetapi juga pada perlindungan nyawa dalam situasi kritikal.
Selain reka bentuk fizikal yang selamat, EV moden turut dilengkapi dengan pelbagai teknologi keselamatan aktif yang semakin canggih. Antaranya termasuk sistem bantuan pemandu seperti autopilot, lane-keeping assist dan automatic emergency braking (AEB).
Sistem ini dapat mengesan halangan secara automatik. Apabila berlaku situasi berisiko, ia bertindak untuk mengurangkan kemungkinan pelanggaran. Selain itu, sensor 360° dan kamera canggih membolehkan pemandu memantau persekitaran kenderaan dengan lebih teliti.
Dengan cara ini, risiko kemalangan akibat titik buta atau kesilapan manusia dapat dikurangkan. Gabungan teknologi ini menjadikan EV bukan sahaja sebuah kenderaan tetapi sebuah sistem keselamatan bergerak yang mampu melindungi penumpang secara proaktif.
Selain ciri-ciri keselamatan aktif, struktur EV juga direka untuk menahan impak dengan lebih baik. Ramai pengeluar menggunakan keluli berkekuatan tinggi atau aluminium ringan untuk membina rangka dan kabin.
Bahan ini bukan sahaja meningkatkan ketahanan terhadap hentakan tetapi juga memastikan kabin kekal utuh walaupun berlaku kemalangan serius.
Kekukuhan ini memberi ketenangan kepada pemandu dan penumpang. Mereka tahu bahawa di sebalik reka bentuk futuristik dan teknologi canggih, terdapat perlindungan fizikal yang solid yang menjaga nyawa mereka.
Selain itu, isu kebakaran sering menjadi kebimbangan apabila bercakap tentang bateri litium. Tetapi EV moden telah membangunkan sistem pengurusan bateri (Battery Management System – BMS) yang canggih. Sistem ini sentiasa memantau voltan, arus dan suhu bateri untuk memastikan ia tidak terlalu panas atau mengalami kerosakan.
Dalam kemalangan, risiko kebakaran masih wujud tetapi biasanya lebih terkawal berbanding kereta petrol, di mana tangki bahan api boleh meletup. Pendek kata, EV menawarkan tahap keselamatan yang lebih baik dari segi kebakaran kerana teknologi ini mampu mencegah situasi kritikal sebelum ia menjadi lebih buruk.
Faktor-faktor keselamatan ini tidak hanya teori. Ia dibuktikan melalui penarafan keselamatan daripada organisasi antarabangsa seperti Euro NCAP dan IIHS. Banyak model EV menerima skor tertinggi dalam ujian pelanggaran kerana gabungan zon remuk, struktur kabin kukuh dan sistem bantuan pemandu yang pintar.
Statistik awal juga menunjukkan bahawa penumpang EV cenderung mengalami kecederaan yang lebih ringan berbanding kereta konvensional dalam insiden yang serupa. Keadaan ini menjadikan EV pilihan yang selamat untuk keluarga dan individu yang mementingkan keselamatan.
Secara keseluruhannya, kereta elektrik kini bukan sahaja sinonim dengan teknologi hijau dan inovatif tetapi juga mewakili standard keselamatan yang tinggi di jalan raya. Dengan kombinasi reka bentuk fizik yang bijak, teknologi keselamatan aktif, struktur kabin kukuh dan sistem pengurusan risiko kebakaran, EV menawarkan tahap perlindungan yang sukar ditandingi oleh kereta konvensional.
Jadi, bagi mereka yang mementingkan keselamatan tanpa mengorbankan prestasi atau gaya hidup moden, EV muncul sebagai pilihan masa depan yang bijak dan selamat.