Tular di media sosial video memaparkan seorang lelaki yang menunggang jet ski di atas sebuah jalan raya di Bangkok ketika bandar itu dinaiki air pada Ahad.
Bukan sekadar menunggang jet ski, malah lelaki tersebut turut membuat ombak berhampiran pejalan kaki yang sedang meredah banjir tersebut.
Bagaimanapun, memetik Bangkok Post, lelaki yang menunggang jet ski di Jalan Phetchaburi itu telah ditahan dan didakwa kerana menimbulkan gangguan awam.
Lelaki Ditahan Tunggang Jet Ski Atas Jalan Raya Semasa Banjir

Menurut laporan, lelaki berkenaan juga memecut sebelum membuat beberapa pusingan tajam sehingga menghasilkan ombak yang menghala ke rumah dan struktur di tepi jalan.
Malah, individu yang merakam video tersebut juga kedengaran memberi sokongan kepada penunggang tersebut dengan berkata aksinya itu bagus.
Susulan itu, penduduk dipercayai membuat aduan berhubung aksi tersebut kerana terdapat orang lain yang turut menggunakan jalan yang dinaiki air itu.
Polis Makkasan kemudian menahan penunggang jet ski berkenaan, namun identitinya tidak didedahkan ketika didakwa atas kesalahan menimbulkan gangguan awam dan menghalang lalu lintas.
Polis turut menyita jet ski berkenaan dan akan memohon kepada mahkamah supaya kenderaan itu dilucutkan hak daripada pemiliknya.
Menurut polis, individu yang merakam video kejadian itu turut didakwa kerana membantu penunggang berkenaan melakukan kesalahan tersebut.
Ketika disoal siasat, lelaki berkenaan dilaporkan memberitahu polis bahawa dia kurang memahami budaya masyarakat Thailand kerana menamatkan pengajian di luar negara sebelum ini.
Dakwa penunggang tersebut, dia hanya mahu menceriakan hari orang ramai dengan aksinya ketika mereka berdepan kesusahan akibat banjir.

