Bunyi burung gagak yang bersahut sahutan pada awal pagi mungkin mengganggu sesetengah orang, terutama mereka yang masih ingin berehat sebelum memulakan aktiviti harian.
Namun, di sebalik bunyi yang dianggap bising itu, sebenarnya terdapat pelbagai sebab mengapa burung berkenaan kerap berbunyi, termasuk untuk berkomunikasi, memberi amaran dan berinteraksi dengan kumpulannya.
Malah, burung gagak yang terkenal dengan kecerdasan, daya ingatan serta kebolehan menyelesaikan masalah mempunyai sistem komunikasi sosial yang agak kompleks.
Menurut penyelaras sains Mass Audubon Cape Cod, Mark Faherty, burung gagak mempunyai struktur sosial yang kompleks selain keupayaan berkomunikasi dalam pelbagai keadaan.
Kenapa gagak lebih ketara berbunyi pada waktu pagi?
Walaupun ramai beranggapan burung gagak lebih bising pada waktu pagi, bunyi mereka sebenarnya boleh didengari dari matahari terbit hingga terbenam.
Faherty berkata, kajian menunjukkan tiada perbezaan ketara dari segi kekerapan bunyi burung gagak berdasarkan waktu tertentu dalam sehari.
Sebaliknya, keadaan persekitaran yang lebih sunyi pada awal pagi mungkin menyebabkan bunyi burung berkenaan lebih mudah didengari.
Hal ini kerana ketika kebanyakan persekitaran masih belum sibuk dengan bunyi kenderaan dan aktiviti manusia, suara burung gagak yang mula aktif selepas malam yang tenang lebih mudah menarik perhatian.
Profesor Madya Penyelidikan di Jabatan Ekologi dan Pemuliharaan Hidupan Liar Universiti Negeri Pennsylvania, Julian D. Avery berkata, burung gagak merupakan haiwan sosial yang sering hidup dan bergerak secara berkumpulan.
Menurutnya, tingkah laku mereka pada waktu pagi hampir menyerupai manusia apabila mula menyapa antara satu sama lain, mencari ahli keluarga, berkumpul dan berinteraksi sebelum meneruskan aktiviti harian.

Apa maksud di sebalik bunyi burung gagak?
Burung gagak mempunyai pelbagai jenis bunyi yang digunakan mengikut keadaan tertentu.
Ada bunyi yang jelas menunjukkan amaran terhadap kehadiran pemangsa, manakala sesetengah bunyi lain lebih perlahan dan lembut.
Faherty menjelaskan, burung gagak sebenarnya mempunyai himpunan bunyi yang sangat pelbagai, termasuk bunyi seperti berkumur, berkeriut dan mengeluarkan suara perlahan seakan akan bercakap sendirian.
Malah, burung berkenaan turut mempunyai bunyi yang menyerupai nyanyian, namun biasanya dikeluarkan dengan nada yang sangat perlahan.
Beliau berkata, usaha memahami maksud setiap bunyi burung gagak bukanlah sesuatu yang mudah kerana konteks dan keadaan sekeliling turut mempengaruhi cara mereka berkomunikasi.
Antara sebab burung gagak mengeluarkan bunyi termasuk:
1. Mengesan kehadiran pemangsa
Burung gagak akan mengeluarkan bunyi yang lebih kuat dan lantang apabila mengesan kehadiran haiwan pemangsa seperti burung hantu bertanduk besar dan helang ekor merah.
Menurut Faherty, burung gagak boleh bertindak secara berkumpulan untuk mengganggu atau menghalau pemangsa yang dikesan berada berhampiran.
2. Berkomunikasi dengan kumpulan
Bunyi yang kuat dan jelas juga digunakan untuk mencari ahli kumpulan, memastikan mereka tidak terpisah ketika bergerak serta memaklumkan kehadiran kepada burung lain.
Avery berkata, komunikasi sedemikian penting bagi memastikan hubungan antara ahli keluarga dan kumpulan mereka terus terpelihara.
3. Menarik pasangan dan mempertahankan kawasan
Ketika musim bunga dan musim panas, burung gagak turut mengeluarkan bunyi untuk mempertahankan kawasan serta menarik perhatian pasangan.
Selain bunyi yang kuat, mereka juga menghasilkan bunyi lebih perlahan seperti berkeriut dan berkumur ketika berinteraksi dengan pasangan.
4. Anak burung meminta perhatian
Selepas musim mengawan, anak burung dan burung muda yang baru belajar terbang juga boleh mengeluarkan bunyi untuk meminta perhatian daripada induk mereka.
Keadaan ini menyebabkan bunyi burung gagak masih boleh didengari walaupun musim mengawan telah berakhir.
5. Berkumpul untuk bermalam
Ketika musim luruh dan musim sejuk, burung gagak lazimnya membentuk kumpulan besar untuk bermalam bersama.
Menurut Avery, burung berkenaan akan berkumpul di lokasi tertentu sebelum menetap di tempat bertenggek untuk bermalam.
Bunyi yang kuat pada waktu petang atau malam ketika musim sejuk dipercayai berkaitan dengan pergerakan burung dalam jumlah besar untuk mendapatkan keselamatan dan sumber makanan.
Bagaimana mengurangkan gangguan bunyi burung gagak?
Usaha untuk membuatkan burung gagak berhenti berbunyi bukanlah sesuatu yang mudah kerana tingkah laku tersebut merupakan sebahagian daripada naluri semula jadi mereka.
Faherty menjelaskan, beberapa kaedah pernah digunakan untuk menghalau kumpulan burung gagak dari kawasan tertentu, termasuk penggunaan pancaran laser berintensiti rendah, bahan letupan kecil yang menghasilkan bunyi serta replika burung gagak yang digantung secara terbalik.
Di kawasan kediaman, pemilik rumah boleh mencuba kaedah penghalau visual dan bunyi seperti menggantung reben berkilat atau menghasilkan bunyi menggunakan peralatan tertentu.
Bagaimanapun, kaedah berkenaan mungkin hanya berkesan untuk tempoh sementara kerana burung gagak merupakan haiwan yang bijak dan boleh membiasakan diri dengan gangguan tersebut.
Faherty turut mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba menangkap, mencederakan atau membunuh burung gagak.
Hal ini kerana burung berkenaan mempunyai keupayaan mengingati wajah manusia, sama ada individu yang dianggap sebagai ancaman mahupun mereka yang tidak mengganggunya.
Malah, maklumat mengenai ancaman juga boleh disampaikan kepada burung lain dalam kumpulan dan generasi seterusnya.
Bunyi bising mungkin petanda kehadiran pemangsa
Jika bunyi burung gagak masih kedengaran walaupun pelbagai cara telah dilakukan, mungkin lebih baik untuk memahami tingkah laku mereka terlebih dahulu.
Avery menjelaskan, sekumpulan burung gagak yang berbunyi dengan kuat di satu kawasan mungkin sedang mengesan kehadiran burung hantu atau pemangsa lain yang tersembunyi berhampiran.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan bunyi bising berkenaan mungkin mempunyai tujuan tertentu dan bukan sekadar gangguan kepada manusia.
Justeru, memahami sebab burung gagak berbunyi boleh membantu kita melihat tingkah laku haiwan tersebut dari sudut yang berbeza, selain menghargai peranan mereka dalam persekitaran semula jadi.

