Sering kali kita mendengar tentang alahan makanan laut. Keadaan ini kebiasaannya terjadi apabila berlaku tindak balas berlebihan daripada sistem imun terhadap protein tertentu dalam makanan laut.
Namun, anda pasti pernah mendengar tentang individu yang alah kepada udang tetapi tidak pada ketam, lalu beranggapan situasi ini membolehkan mereka menikmati makanan laut yang lain dengan sepuas hati.
Menurut Public Health Malaysia, jika seseorang alah udang, ketam juga turut berisiko. Kerang, lala dan sotong pula datang daripada kumpulan lain, tapi tetap situasi ini janganlah dianggap sebagai satu tiket untuk anda cuba tanpa nasihat doktor.
Jangan Anggap Alah Udang Tiket Bebas Untuk Makan Ketam Atau Sotong, Makanan Laut Bercengkerang Rupanya Terbahagi Kepada Dua Kumpulan

Makanan laut bercengkerang terbahagi kepada dua kumpulan besar, dan mengenali perbezaannya adalah langkah pertama yang penting untuk mengelakkan risiko alahan yang serius.
Kumpulan pertama ialah krustasea yang terdiri daripada udang, udang galah, ketam dan lobster dan merupakan punca paling banyak tindak balas alahan.
Manakala, kumpulan kedua ialah moluska yang terdiri daripada kerang, lala, kupang, tiram, siput dan sotong.
Selain itu, pakar alahan turut menjelaskan tentang kebanyakan orang yang alah kepada satu spesies akan alah juga kepada spesies lain dalam kumpulan yang sama.
Jika anda alah pada udang, besar kemungkinan anda juga alah pada ketam.
Ramai penghidap alahan krustasea masih boleh menikmati moluska, namun tidak semuanya. Oleh itu, pastikan tahap keselamatan anda bersama doktor, bukannya dengan 'mengujinya' sendiri di meja makan.
Alahan Makanan Laut Kerap Bermula Pada Usia Dewasa
Satu lagi yang perkara yang tidak dapat dijangka ialah alahan makanan laut paling kerap bermula pada usia dewasa.
Mungkin anda sudah bertahun-tahun lamanya mampu menikmati udang tanpa masalah, tiba-tiba satu hari bibir anda menjadi bengkak selepas makan tomyam.
Bila gejala ini muncul, kebiasaannya ia akan kekal seumur hidup dan puncanya ialah kerana protein otot dalam makanan laut yang dipanggil tropomiosin, dan bukannya iodin.
Sebab itulah tanggapan bahawa 'alah udang bermakna tidak boleh menjalani imbasan CT dengan ubat kontras' hanyalah mitos lama.
Hakikatnya, kebanyakan individu yang alah kepada makanan laut tetap boleh menjalani prosedur ini dengan selamat. Namun begitu, pastikan anda memaklumkan semua sejarah alahan kepada doktor supaya penilaian yang tepat dapat dibuat
Tanda-tanda alahan boleh muncul hanya dalam beberapa minit selepas menikmati makanan laut. Antara gejalanya termasuklah kulit gatal dan berbintat merah, bibir atau lidah membengkak, muntah, sakit perut, cirit-birit, serta pening.
Gejala yang paling serius termasuklah nafas berbunyi (berdehit), batuk berterusan, tekak terasa ketat, dan sesak nafas. Ini merupakan tanda-tanda awal anafilaksis iaitu satu tindak balas alahan yang mengancam nyawa di mana setiap minit amat berharga.
Sekiranya ini berlaku, segera hubungi 999 atau terus ke jabatan kecemasan. Jika doktor pernah membekalkan pen adrenalin (EpiPen), gunakan dengan segera sebelum mendapatkan rawatan lanjut.
Malah, sesetengah individu boleh diserang alahan teruk hanya dengan menghidu wap masakan udang atau memakan hidangan lain yang digoreng menggunakan minyak yang sama.
Oleh itu, jika anda pernah berasa tidak selesa atau mengalami reaksi pelik selepas menikmati makanan laut, segeralah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut atau rujukan kepada pakar alahan.

