Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kembar Tak Semestinya Sama, Ini 6 Salah Faham Yang Ramai Masih Percaya

Kembar
Kredit: Gambar Hiasan --Mental Floss

Anak kembar sering menjadi perhatian kerana hubungan unik antara mereka, terutama bagi pasangan kembar seiras yang mempunyai rupa hampir sama.

Keadaan itu turut menyebabkan pelbagai andaian dan cerita mengenai kembar tersebar sejak sekian lama.

Kembar seiras berlaku apabila satu ovum disenyawakan oleh satu sperma sebelum embrio yang terhasil berpecah menjadi dua.

Sementara itu, kembar tidak seiras berlaku apabila dua ovum dilepaskan pada waktu yang sama ketika ovulasi dan masing-masing disenyawakan oleh sperma yang berbeza.

Walaupun kedua-duanya dilahirkan sebagai kembar, terdapat banyak perkara mengenai hubungan dan perkembangan mereka yang mungkin tidak seperti apa yang sering digambarkan.

Berikut enam salah faham mengenai anak kembar yang mungkin masih dipercayai ramai.

Anak kembar sentiasa menjadi sahabat baik

Memang ramai pasangan kembar mempunyai hubungan yang sangat rapat kerana mereka membesar bersama dalam persekitaran dan keluarga yang sama.

Ada juga kembar seiras yang kelihatan hampir sama, sekali gus menjadikan hubungan mereka lebih istimewa.

Namun begitu, tidak semua pasangan kembar mempunyai hubungan yang erat.

Ada yang sememangnya tidak begitu serasi sejak kecil, manakala sesetengah yang lain mungkin rapat ketika kanak-kanak tetapi mula berdepan kesukaran untuk membentuk identiti sendiri apabila meningkat dewasa.

Hubungan antara pasangan kembar juga boleh menjadi rumit seperti hubungan adik-beradik yang lain.

Ada pasangan kembar yang mempunyai personaliti sangat berbeza walaupun mempunyai hubungan genetik yang hampir sama.

Kajian mendapati kembar seiras cenderung mempunyai lebih ramai rakan yang sama berbanding kembar tidak seiras dan pada peringkat awal turut mempunyai ciri personaliti yang hampir sama.

Bagaimanapun, perbezaan antara mereka boleh menjadi lebih ketara apabila usia meningkat. Jadi, walaupun hubungan rapat antara kembar adalah perkara biasa, ia bukan sesuatu yang berlaku kepada semua pasangan.

Kajian membuktikan kembar boleh bertelepati

Cerita mengenai kembar yang kononnya mampu membaca fikiran antara satu sama lain atau merasai kesakitan yang dialami pasangan mereka sering menjadi bahan perbualan.

Malah, terdapat beberapa kajian awal yang mengenal pasti kejadian yang boleh ditafsirkan sebagai tanda telepati.

Sebagai contoh, satu kajian pada 2013 mendapati sepasang daripada empat pasangan kembar seiras yang didedahkan kepada bunyi kuat menunjukkan tindak balas yang berada “melebihi tahap kebetulan”.

Namun begitu, bukti saintifik mengenai perkara tersebut masih sangat terhad. Menurut ahli psikologi Tania Johnson kepada National Geographic, sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh untuk membuktikan kewujudan telepati antara kembar.

Sebaliknya, perkara yang kelihatan seperti telepati mungkin berlaku kerana kedua-duanya dibesarkan dengan cara yang sama dan mempunyai cara bertindak balas, membuat keputusan serta melihat dunia yang hampir serupa.

Persamaan genetik yang sangat tinggi juga mungkin memainkan peranan, khususnya dalam kalangan kembar seiras yang dibesarkan secara berasingan.

Walaupun begitu, penyelidik masih tidak menolak kemungkinan tersebut sepenuhnya. Nancy Segal, pengarah Twin Studies Center di California State University, berkata saintis perlu terus terbuka terhadap kemungkinan wujudnya telepati antara kembar pada masa akan datang.

Seorang kembar mesti baik dan seorang lagi jahat

Konsep “kembar jahat” sudah wujud sejak zaman mitologi kuno dan kemudiannya menjadi satu unsur popular dalam pelbagai karya fiksyen.

Dalam sesetengah cerita, watak kembar jahat mempunyai wajah yang sama dengan watak utama tetapi dibezakan melalui ciri tertentu seperti parut atau penutup mata.

Namun, konsep tersebut sebenarnya lebih kepada simbolik yang menggambarkan sisi gelap atau konflik dalam diri seseorang, bukannya gambaran tentang hubungan kembar sebenar.

Dalam kehidupan nyata, tiada istilah seorang kembar “baik” dan seorang lagi “jahat”.

Sebaliknya, setiap individu mempunyai personaliti, kekuatan dan kelemahan tersendiri, sama seperti manusia lain.

Kembar seiras mempunyai DNA yang sama sepenuhnya

Kembar seiras terbentuk daripada zigot yang sama. Disebabkan itu, sudah lama dipercayai bahawa mereka mempunyai DNA yang sama sepenuhnya.

Hakikatnya, perkara tersebut tidak semestinya benar.

Kembar seiras memang mempunyai persamaan genetik yang sangat tinggi, namun sesetengah pasangan boleh mempunyai perbezaan genetik yang lebih ketara berbanding pasangan lain.

Satu kajian pada 2021 mendapati kira-kira 15 peratus pasangan kembar seiras mempunyai seorang kembar yang mengalami mutasi genetik yang ketara.

Kajian lain terhadap 381 pasangan kembar seiras pula mendapati hanya 38 pasangan tidak mempunyai mutasi genetik yang boleh dikenal pasti sebagai perbezaan antara kedua-duanya.

Perbezaan genetik tersebut boleh berlaku akibat mutasi sebelum atau selepas embrio berpecah menjadi dua.

Kembar seiras boleh diwarisi dalam keluarga

Tiada bukti kukuh yang menunjukkan kecenderungan untuk mendapat kembar seiras boleh diwarisi dalam keluarga.

Bagaimanapun, kecenderungan untuk mendapat kembar tidak seiras boleh dipengaruhi oleh faktor genetik dan diwarisi.

Selain itu, kebarangkalian mendapat anak kembar juga meningkat seiring pertambahan usia. Wanita yang pernah melalui kehamilan kembar turut mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk mendapat kehamilan kembar sekali lagi.

Menurut UT Southwestern Medical Center, kehamilan kembar sebelum ini boleh meningkatkan kebarangkalian untuk mendapat kembar sekali lagi sehingga lima kali ganda.

Anak kembar mesti berkongsi tarikh lahir yang sama

Walaupun dilahirkan sebagai kembar, mereka tidak semestinya mempunyai tarikh lahir yang sama.

Malah, pasangan kembar boleh dilahirkan pada hari, bulan atau tahun yang berbeza, selagi kedua-duanya berada dalam kandungan pada tempoh kehamilan yang sama.

Proses kelahiran boleh menjadi panjang dan rumit. Dalam keadaan tertentu, kelahiran bayi kedua boleh berlaku beberapa hari, minggu atau bahkan bulan selepas bayi pertama dilahirkan.

Rekod jarak kelahiran paling lama antara pasangan kembar ialah 90 hari.

Perkara itu berlaku pada 1996 apabila seorang ibu melahirkan seorang bayi secara pramatang sebelum doktor menghentikan pengecutannya dan mengekalkan bayi kedua dalam kandungan sehingga tempoh yang lebih sesuai untuk dilahirkan.

Justeru, walaupun kembar sering dianggap mempunyai banyak persamaan, hakikatnya hubungan, genetik dan pengalaman setiap pasangan boleh berbeza. Banyak perkara yang dianggap “biasa” mengenai kembar sebenarnya tidak semestinya berlaku kepada semua pasangan.

Intipati
  • Kembar seiras terbentuk daripada satu embrio, manakala kembar tidak seiras melibatkan dua ovum.
  • Tidak semua kembar rapat, mempunyai personaliti sama atau berkongsi rakan sepanjang hayat.
  • Bukti telepati masih terhad, sementara DNA dan tarikh lahir kembar boleh berbeza.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan