Bila sebut sahaja Uzbekistan, mungkin masih ada dalam kalangan kita yang kurang mengenali negara tersebut.
Ada yang menyangka ia sebuah negara Arab, ada pula yang beranggapan penduduknya menggunakan bahasa Rusia sebagai bahasa utama.
Malah, mungkin ada juga yang membayangkan Uzbekistan sebagai sebuah negara yang hanya dipenuhi kawasan padang pasir.
Namun sebenarnya, banyak perkara tentang negara itu mungkin jauh berbeza daripada apa yang kita bayangkan.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang lelaki Uzbekistan yang sudah lama menetap di Malaysia.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, dia mengambil kesempatan menjelaskan beberapa salah faham yang sering didengarnya daripada rakyat Malaysia mengenai negara asalnya.
“Uzbekistan bukan negara Arab” - Lelaki Uzbekistan

Menurut lelaki berkenaan, antara salah faham yang paling kerap diterimanya adalah apabila ada yang menganggap Uzbekistan merupakan sebuah negara Arab.
Hakikatnya, Uzbekistan merupakan sebuah negara yang terletak di Asia Tengah dan bersempadan dengan beberapa negara seperti Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Turkmenistan.
Jadi, dari segi kedudukan geografi, Uzbekistan bukanlah sebahagian daripada negara-negara Arab.
Bahasa Uzbek jadi bahasa utama

Satu lagi persoalan yang sering ditanya kepadanya adalah mengenai bahasa yang digunakan oleh penduduk Uzbekistan.
Katanya, ada yang menyangka rakyat Uzbekistan menggunakan bahasa Rusia sebagai bahasa utama.
Namun menurutnya, bahasa pertama penduduk di negara itu ialah bahasa Uzbek, manakala bahasa Rusia turut digunakan secara meluas sebagai bahasa kedua.
Keadaan itu mempunyai kaitan dengan sejarah Uzbekistan yang pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet sebelum mencapai kemerdekaan.
Majoriti penduduk beragama Islam

Selain bahasa, lelaki itu turut mendedahkan bahawa ada juga yang bertanya sama ada terdapat masyarakat Islam di Uzbekistan.
Katanya, majoriti penduduk Uzbekistan beragama Islam.
Malah, jika berkunjung ke negara tersebut, pengunjung boleh menemui banyak masjid serta melihat pengaruh budaya Islam dalam kehidupan masyarakatnya.
Bukan sekadar padang pasir, Uzbekistan ada empat musim
Antara tanggapan lain yang sering diterimanya adalah Uzbekistan merupakan sebuah negara yang dipenuhi kawasan padang pasir.
Menurut lelaki tersebut, Uzbekistan mempunyai empat musim iaitu musim bunga, panas, luruh dan sejuk.
Ketika musim panas, suhu di sana boleh menjadi sangat tinggi malah ada kalanya terasa lebih panas berbanding Malaysia.
Bagaimanapun, keadaan cuacanya lebih kering dan berangin.
Pada musim sejuk pula, suhu boleh jatuh ke bawah paras beku dan dalam keadaan tertentu boleh mencecah sekitar negatif 20 darjah Celsius.
“Orang Uzbek lebih kurang macam orang Malaysia”

Dalam perkongsian sama, lelaki berkenaan turut ditanya mengenai karakter masyarakat Uzbekistan.
Menurutnya, masyarakat di sana sebenarnya tidak jauh berbeza dengan rakyat Malaysia.
Katanya, ramai yang bersikap ramah, terbuka dan mudah bergaul.
“Orang yang serius pun ada, orang yang kelakar pun ada. Macam-macamlah. Sama macam Malaysia.
“Cuma bahasa lain, budaya lain dan negara lain,” katanya.
Bagaimanapun, selepas lama tinggal di Malaysia, dia mengakui terdapat satu perbezaan yang cukup ketara antara kedua-dua masyarakat.
Menurutnya, masyarakat Uzbekistan cenderung melakukan sesuatu dengan lebih pantas atau dalam keadaan tergesa-gesa.
Berbeza dengan rakyat Malaysia yang pada pandangannya lebih tenang dan santai.
“Orang Uzbek selalu rushing. Tak tahu rushing pergi mana.
“Orang Malaysia pula tenang, jawab pun slow,” katanya berseloroh.
Kadang-kadang, kita mungkin mengenali nama sesebuah negara tetapi masih belum benar-benar memahami masyarakat, budaya dan kehidupan di sana.
Perkongsian seperti ini sedikit sebanyak membuka mata bahawa walaupun Malaysia dan Uzbekistan dipisahkan ribuan kilometer, masyarakat kedua-dua negara sebenarnya mungkin mempunyai lebih banyak persamaan daripada yang kita sangka.
