Kisah pengorbanan seorang wanita yang terus memberi harapan kepada insan lain meskipun sudah meninggal dunia menyentuh hati ramai apabila keluarganya bersetuju mendermakan organ selepas pemergiannya.
Allahyarhamah Nurul Natasya merupakan antara individu yang menyumbang kepada usaha menyelamatkan nyawa orang lain menerusi pendermaan organ selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kluang, Johor, Khamis lalu.

Perkembangan itu dikongsikan menerusi akaun Facebook Johor Bahru yang memaklumkan Allahyarhamah telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) selepas kejadian berkenaan.
Menurut perkongsian tersebut, Nurul Natasya berada dalam keadaan koma sebelum disahkan meninggal dunia pada Ahad.
Ahli keluarganya kemudian bersetuju untuk mendermakan organ Allahyarhamah bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.
“Arwah koma hingga tengah hari, Ahad (semalam) sebelum meninggal dunia. Ahli keluarganya bersetuju untuk mendermakan organ.

“Pada pagi Isnin (hari ini) akan diuruskan proses pendermaan organ ini sebelum jenazah dibawa ke Surau Setia Tropika untuk urusan pengebumian,” katanya.
Perkara itu turut mendapat perhatian apabila Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihaknya telah mengadakan upacara penghormatan terakhir dikenali sebagai Walk of Honor kepada Allahyarhamah pada 23 November 2026.
Lebih menyentuh hati, pihak hospital mengesahkan pendermaan berkenaan melibatkan tiga jenis organ iaitu jantung, buah pinggang dan hati.
“Awal pagi ini, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru telah menyaksikan dan memberikan penghormatan terakhir Walk of Honor kepada Allahyarhamah Nurul Natasya binti Ahmat Ja'affar atas pengorbanan mulianya melalui pendermaan organ jantung, buah pinggang dan hatinya,” menurut kenyataan hospital itu.

Pihak hospital turut menyifatkan setiap pendermaan organ membawa makna besar kepada pesakit yang sedang menantikan peluang untuk meneruskan kehidupan.
Sehubungan itu, seluruh warga HSAJB merakamkan penghargaan atas keikhlasan Allahyarhamah serta mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat dan keampunan oleh Allah SWT.
Dalam pada itu, perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi pengguna media sosial yang rata-rata menzahirkan ucapan takziah serta mendoakan kebaikan buat Allahyarhamah.
Meninjau ruangan komen, pengguna Facebook Ahmat Sharezza berharap sumbangan organ berkenaan menjadi asbab kebaikan buat Allahyarhamah.
“Semoga dengan pendermaan organ menjadi asbab untuk arwah masuk ke syurga,” komennya.
Sementara itu, Nur Asilah Taib melihat perkembangan tersebut sebagai petanda semakin ramai masyarakat dan ahli keluarga mula memahami kepentingan pendermaan organ.
“Sekarang, ramai orang dan waris sudah mula mengambil tahu tentang pendermaan organ untuk orang lain,” katanya.
Pengguna Facebook Diba Adibah turut menitipkan doa agar Allahyarhamah ditempatkan di syurga tertinggi.
“Semoga syurga tertinggi buatmu, Aan,” tulisnya.
Tidak ketinggalan, Fatihah Shaari turut meluahkan rasa sedih dan menyifatkan Allahyarhamah sebagai insan yang disayangi ramai.
“Ramai orang sayangkan awak, Aan,” katanya.
Pemergian Nurul Natasya pastinya meninggalkan kesedihan buat keluarga dan insan terdekat. Namun, keputusan keluarganya untuk mendermakan organ Allahyarhamah menjadi satu sumbangan bermakna apabila memberi peluang kepada pesakit lain untuk meneruskan kehidupan.

