Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Tindakan Ahli Parlimen pembangkang keluar beramai-ramai ketika Sidang Khas Dewan Rakyat membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa dipersoalkan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai mengecewakan, terutama apabila pembangkang sebelum ini dilihat lantang menyuarakan isu berkaitan Islam dan kepentingan umat Islam.
Menurutnya, sidang khas berkenaan sepatutnya dimanfaatkan semua Ahli Parlimen untuk meneliti, mempersoalkan serta mencabar dapatan RCI berdasarkan fakta dan hujah.
“Selama ini mereka bercakap seolah-olah merekalah jaguh yang paling lantang mempertahankan Islam dan kepentingan umat Islam.
“Hari ini, apabila pintu Parlimen dibuka untuk mereka bertanya, mencabar, menyanggah dan membahaskan setiap dapatan RCI, mereka memilih untuk keluar,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, sebarang dapatan RCI yang tidak dipersetujui pembangkang seharusnya dibangkitkan secara terbuka menerusi perbahasan di Dewan Rakyat.
“Kalau ada dapatan RCI yang mereka tidak setuju, bangun dan lawan dengan fakta. Kalau ada keputusan kerajaan yang mereka mahu persoalkan, tanyakan dalam Dewan.
“Kalau ada pihak yang mereka percaya perlu dipertahankan, pertahankan dengan hujah,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha turut mempersoalkan pendirian pembangkang yang sering menyentuh soal ketelusan, amanah, Islam dan kepentingan umat Islam di luar Dewan Rakyat, namun memilih untuk keluar ketika diberikan ruang membahaskan laporan berkenaan.
“Jadi saya hendak tanya, sebenarnya siapa yang tidak mahu isu Tabung Haji ini dibahaskan?” katanya.
Menurutnya, tindakan keluar beramai-ramai itu lebih mengecewakan kerana perbahasan berkenaan menyentuh isu pengurusan serta amanah wang pendeposit Tabung Haji.
“Ini bukan isu kecil dan bukan ruang untuk melakukan ‘political stunt’,” katanya.
Dr Zaliha berkata, sekiranya pembangkang benar-benar serius mahu mempertahankan kepentingan umat Islam, mereka sepatutnya kekal berada dalam Dewan Rakyat untuk meneliti laporan berkenaan serta membahaskan perkara yang dipertikaikan.
“Apabila mereka sendiri memilih untuk keluar, rakyat tentu berhak bertanya, apa sebenarnya yang pembangkang mahukan?” katanya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan