Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KEADILAN Tidak Akan Gadai Prinsip - Presiden PKR

PRINSIP
Kredit: Facebook Anwar Ibrahim

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan KEADILAN tidak akan sesekali menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita Reformasi semata-mata demi mempertahankan kuasa.

Menurutnya, KEADILAN memilih jalan yang sukar dengan berpegang kepada prinsip, idealisme dan keberanian untuk melakukan perkara yang benar.

“KEADILAN memilih jalan yang sukar, iaitu jalan prinsip, idealisme dan keberanian melakukan perkara yang benar. Kita tidak akan sesekali menggadaikan prinsip atau mengkhianati cita-cita Reformasi semata-mata demi mempertahankan kuasa,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook semalam.

Anwar berkata, keputusan yang diterima parti di Johor dan Negeri Sembilan perlu diterima dengan penuh tawaduk tanpa menuding jari atau mencari alasan.

Sebaliknya, ujarnya, KEADILAN perlu melakukan muhasabah, memperbaiki kelemahan serta bangkit dengan gerak kerja yang lebih tersusun dan berdisiplin.

Jelasnya, KEADILAN juga mesti kekal sebagai wadah perjuangan untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah.

“Kita tidak boleh hanya berbicara tentang keadilan, tetapi mesti membuktikannya melalui dasar dan tindakan,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan taraf kehidupan rakyat.

Menurutnya, rakyat di negeri yang ditadbir pembangkang juga perlu dibela kerana amanah kerajaan adalah kepada seluruh rakyat dan negara, bukan hanya penyokong atau negeri tertentu.

Pada masa sama, beliau berkata aspek tatakelola perlu terus diperkukuh, manakala institusi dibersihkan dan setiap kelemahan diperbetulkan dengan tegas.

“Akta Tabung Haji akan dipinda demi memelihara amanah umat Islam, manakala AUKU mesti dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang terus mengongkong suara mahasiswa,” ujarnya.

Anwar berkata, kekuatan KEADILAN bergantung kepada saf yang bersih, kepimpinan yang teguh serta gerak kerja yang tersusun.

“Kuasa bukan alat untuk memperkaya diri, keluarga atau kroni, tetapi amanah untuk membela rakyat, menegakkan keadilan dan mengangkat martabat insan,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh anggota parti supaya merapatkan barisan, memperkemas gerak kerja dan terus mara demi kepentingan rakyat serta negara.

Intipati
  • Anwar menegaskan KEADILAN tidak akan menggadaikan prinsip Reformasi demi mempertahankan kuasa.
  • Beliau meminta parti menerima keputusan di Johor dan Negeri Sembilan dengan tawaduk.
  • Anwar berkata Kerajaan MADANI akan memastikan pertumbuhan ekonomi meningkatkan taraf hidup rakyat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan