Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) menolak dakwaan bahawa kanak-kanak migran dan pelarian termasuk daripada etnik Rohingya di negara ini diberikan layanan tidak berperikemanusiaan.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Dalam Negeri berkata kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah bagi menjaga kebajikan golongan itu termasuk menyediakan pusat penempatan sementara dikenali sebagai Baitul Mahabbah.
Menurut KDN, kerajaan turut memperhalusi kerangka inisiatif Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak sebagai pendekatan lebih menyeluruh dalam mengurus isu berkenaan.
“Dakwaan bahawa kanak-kanak dikurung tanpa pembelaan atau dinafikan kebajikan asas tidak menggambarkan usaha sebenar yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurus isu migrasi tidak teratur secara bertanggungjawab, berperikemanusiaan dan selaras dengan keperluan keselamatan negara,” menurut kenyataan itu.
KDN menjelaskan, Baitul Mahabbah merupakan langkah peralihan sementara sebelum kerangka penuh Alternatif Kepada Penahanan Kanak-Kanak dimuktamadkan.
Menurut kementerian itu, usaha tersebut sedang diperhalusi bersama Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), rakan strategik kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Sehingga 28 Februari lalu, sebanyak enam Baitul Mahabbah telah beroperasi di seluruh negara dengan menempatkan seramai 188 kanak-kanak.
Daripada jumlah itu, tujuh dikategorikan sebagai kanak-kanak tanpa penjaga atau terpisah.
Sebelum ini, beberapa aktivis antarabangsa didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung penahanan serta ketiadaan akses pendidikan untuk etnik Rohingya.
Bagaimanapun, KDN menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas dan tidak mengambil kira pelbagai usaha yang telah dilaksanakan kerajaan melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Menurut KDN, Baitul Mahabbah diwujudkan sebagai langkah interim bagi menyediakan penempatan sementara yang lebih sesuai untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah bersama penjaga mereka.
“Inisiatif ini membolehkan kanak-kanak dipindahkan daripada persekitaran depot tahanan imigresen biasa sementara proses dokumentasi, pengesahan status dan penyelesaian lanjut dilaksanakan,” katanya.
KDN berkata, kanak-kanak yang ditempatkan di Baitul Mahabbah diberikan persekitaran yang lebih kondusif serta keperluan asas seperti keselamatan, kesihatan, aktiviti pendidikan tidak rasmi, bimbingan asas dan ruang riadah mengikut kesesuaian umur.
Selain itu, kerajaan turut merancang memperluas skop dan kapasiti Baitul Mahabbah secara berfasa bagi menampung kategori umur kanak-kanak lain.
Menurut kementerian itu, langkah tersebut bergantung kepada kesesuaian kemudahan, tahap keselamatan, keperluan perlindungan serta kapasiti agensi pelaksana.
Dalam pada itu, KDN menyeru semua pihak termasuk negara asal, pertubuhan antarabangsa, rakan serantau dan aktivis kemanusiaan supaya memainkan peranan lebih tegas dalam mencari penyelesaian jangka panjang.
Katanya, isu melibatkan komuniti Rohingya tidak boleh dilihat secara terpisah kerana ia berkait rapat dengan kemasukan tidak sah, penyeludupan migran serta pemerdagangan manusia yang merentas sempadan.
“Dalam banyak keadaan, kanak-kanak menjadi mangsa kepada rangkaian sindiket yang mengambil kesempatan atas konflik, kemiskinan dan ketiadaan penyelesaian jangka panjang di negara asal,” katanya.