Kaspersky mengesan beberapa laman web palsu yang menyamar sebagai kedai menjual barangan Formula 1 (F1) menjelang perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang dari 2 hingga 4 Oktober ini.
Syarikat keselamatan siber itu berkata laman berkenaan berpotensi menyebabkan pengguna mengalami kerugian kewangan selain mendedahkan maklumat peribadi ketika membuat pembelian pakaian pasukan atau memorabilia F1.
Menurut kenyataan Kaspersky, laman web terbabit menggunakan penjenamaan F1 serta imej pelumba dan pasukan selain mendakwa menawarkan barangan “rasmi” atau “diperakui” bagi meyakinkan pengguna bahawa ia merupakan peruncit sah.
Sesetengah laman turut direka menyerupai kedai dalam talian sebenar dengan fungsi carian produk, akaun pengguna, troli pembelian dan tawaran penghantaran ke seluruh dunia.
Kaspersky berkata risiko bermula apabila pengguna memasukkan maklumat peribadi atau pembayaran ketika proses pembelian.
Maklumat yang dihantar menerusi laman penipuan berpotensi diperoleh penipu, manakala bayaran mungkin diproses tanpa barangan dibekalkan kepada pembeli.
Pengarah Urusan Kaspersky bagi Asia Pasifik Adrian Hia berkata acara besar seperti F1 boleh menyebabkan peminat kurang memberi perhatian terhadap aspek keselamatan ketika mencari barangan pasukan atau pelumba kegemaran.
“Penjenayah siber bergantung kepada keadaan apabila rasa teruja dan pengenalan terhadap sesuatu jenama mengambil tempat proses pengesahan.
“Peminat perlu berhenti seketika dan memastikan mereka berurusan dengan peruncit yang sah sebelum membuat pembelian,”
Sehubungan itu, Kaspersky menasihatkan pengguna supaya menyemak URL serta ejaan nama jenama dan memastikan laman berkenaan merupakan peruncit rasmi atau rakan niaga yang diberi kuasa.
Pengguna juga disaran membeli hanya melalui platform rasmi yang dipercayai serta menggunakan penyelesaian keselamatan yang mampu mengesan laman berbahaya dan menyekat percubaan pancingan data.
Selain itu, pengguna perlu mengaktifkan notifikasi transaksi sekiranya tersedia serta menyemak penyata bank secara berkala bagi mengesan sebarang transaksi tanpa kebenaran.
Kaspersky merupakan syarikat keselamatan siber dan privasi digital global yang ditubuhkan pada 1997.

