Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenang Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali sebagai sosok ibu yang penuh kelembutan dan kasih sayang serta sentiasa membuatkan setiap insan berasa dekat dan dihargai.
Anwar berkata, beliau bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah yang turut dianggap sebagai sahabat dan rakan karib mereka sejak bertahun-tahun lalu.
“Hadir bersama Azizah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Kak Hasmah, sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang, selain juga sebagai seorang sahabat dan rakan karib di tahun-tahun lampau,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Anwar, beliau dan Wan Azizah sukar menerima hakikat bahawa Allahyarhamah kini telah pergi, lebih-lebih lagi apabila pelbagai kenangan indah yang dikongsi bersama kembali bermain di ingatan.
Negara Terus Kenang Jasa
“Justeru, negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Kak Hasmah. Dalam ingatan ramai, beliau adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap mereka berasa dekat dan dihargai,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata beliau dan Wan Azizah mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berkenaan, selain dikurniakan kesihatan serta sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal bakti dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Allahyarhamah atas segala budi yang dicurahkan kepada mereka, selain mendoakan agar ingatan dan doa terus mengiringi pemergian Allahyarhamah.

