Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

JPJ Tangguh Sementara Urusan Tukar Hak Milik Kenderaan Dalam Talian Mulai 25 Mei
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan melaksanakan penangguhan sementara urusan tukar hak milik (THM) kenderaan melalui saluran dalam talian berkuat kuasa 25 Mei ini.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook, JPJ memaklumkan penangguhan itu melibatkan portal awam, kiosk serta rakan niaga JPJ iaitu MyEG dan eAuto Sdn Bhd.
Menurut kenyataan itu lagi, langkah berkenaan dilaksanakan sebagai tindakan kawalan serta-merta susulan penerimaan beberapa aduan rasmi serta aduan melalui media sosial berhubung insiden pertukaran hak milik kenderaan yang dilakukan tanpa pengetahuan pemilik berdaftar.
“JPJ memandang serius perkara ini, khususnya yang melibatkan aspek penyelenggaraan dan keselamatan rekod pendaftaran kenderaan di dalam sistem JPJ.
“Sehubungan itu, bermula 25 Mei 2026, semua urusan THM kenderaan bagi kategori persendirian individu dan persendirian syarikat hendaklah dilaksanakan melalui kaunter Pejabat JPJ,” menurut kenyataan itu.
Bagi urusan THM kategori persendirian individu, JPJ memaklumkan ia boleh dilaksanakan pada hari yang sama di semua Pejabat JPJ Negeri dan cawangan.
Sementara itu, bagi kategori persendirian syarikat, proses pengesahan dan kelulusan akan dilaksanakan dalam tempoh lima hingga tujuh hari bekerja bermula daripada tarikh serahan dokumen lengkap kepada JPJ.
Bagi saluran melalui penyedia perkhidmatan eAuto, hanya urusan Sistem Tukar Hak Milik Sementara (STMS) masih beroperasi seperti biasa.
Bagaimanapun, sistem tukar hak milik kekal melalui sistem eSerahan Tukar Milik (eSTM) ditangguhkan pelaksanaannya.
“Mana-mana pihak termasuk syarikat kenderaan terpakai yang hendak melaksanakan eSTM hendaklah mengemukakan permohonan ini di Pejabat JPJ Negeri atau Cawangan,” maklum JPJ menerusi kenyataan tersebut.
JPJ berkata pihaknya kekal komited memastikan pengurusan serta kawalan rekod pendaftaran kenderaan dalam sistem JPJ terus diperkukuh dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
Pada masa yang sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa menyemak dan mengemas kini maklumat serta data terkini kenderaan masing-masing di JPJ.