EV Connection (EVC), pengendali aplikasi JomCharge, memeterai perjanjian kerjasama strategik dengan Power Equipment & Supplies, Inc. (PESIN) bagi memperluas penggunaan teknologi pengecasan kenderaan elektrik (EV) Malaysia ke Filipina.
Kerjasama itu dilaksanakan menerusi Charge Tayo, inisiatif pengecasan EV milik PESIN yang menggunakan platform pengurusan pengecasan JomCharge.
Menurut EVC dalam kenyataan hari ini, perjanjian tersebut dimeterai sempena Sidang Kemuncak Kenderaan Elektrik Filipina (PEVS) Ke-14 di Pusat Konvensyen SMX.
Kerjasama berkenaan menggabungkan pengalaman 56 tahun PESIN dalam bidang kejuruteraan elektrik dengan teknologi platform rangkaian pengendali titik pengecasan (CPO) JomCharge.
Pengarah Urusan EVC, Ir. Lee Yuen How berkata langkah itu membolehkan syarikat tempatan berkenaan membawa kepakaran dan teknologi pengecasan EV melangkaui pasaran Malaysia.
“Sebagai sebuah syarikat Malaysia, kami berbesar hati membawa platform JomCharge ke Filipina bersama PESIN, rakan kongsi yang mempunyai pengalaman kejuruteraan lebih 50 tahun.
“Bersama-sama, kami mahu menjadikan pengecasan EV lebih pintar, mudah diakses dan lebih memudahkan pemandu di Filipina ketika negara itu beralih kepada pengangkutan yang lebih bersih serta mampan,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Charge Tayo akan menyediakan akses kepada stesen pengecasan, maklumat ketersediaan pengecas dalam masa nyata, pengurusan pembayaran serta pemantauan sesi pengecasan secara langsung.
Kemudahan tersebut bertujuan membantu pengguna merancang perjalanan dan mengurus pengecasan dengan lebih mudah.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PESIN, Justo M. Conde II berkata penglibatan syarikat dalam pengecasan EV merupakan kesinambungan kepada perniagaan penyelesaian elektrik serta komitmennya terhadap inovasi.
Beliau berkata JomCharge dipilih sebagai rakan teknologi berdasarkan keupayaan platform pengurusan pengecasannya untuk menyokong pengalaman pengguna yang boleh dipercayai dan bersesuaian dengan pasaran Filipina.
“Menerusi Charge Tayo, visi kami adalah untuk menjadikan pengecasan EV lebih mudah diakses, mampu milik dan boleh diharap oleh pengguna jalan raya di Filipina, sambil membangunkan rangkaian pengecasan seluruh negara yang menyokong peralihan kepada pengangkutan mampan,” katanya.
Menurut EVC, proses integrasi sistem antara kedua-dua pihak sedang dilaksanakan, dengan pelaksanaan komersial disasarkan bermula pada akhir 2026 hingga suku pertama 2027.
EVC menyediakan perkhidmatan pengecasan EV bersepadu yang merangkumi pembekalan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan serta penyelidikan dan pembangunan, selain mengendalikan aplikasi JomCharge.

