Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JIM Selangor Tahan 95 Warga Asing Dalam Operasi Bersepadu Di Klang

JIM
Kredit: Facebook JIM Selangor

JIM Selangor Tahan 95 Warga Asing Dalam Operasi Bersepadu Di Klang

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan seramai 95 warga asing dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu yang dijalankan di sekitar Klang dan Alam Megah bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen.

JIM Selangor berkata, operasi berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut JIM Selangor dalam satu hantaran di Facebook hari ini, operasi bermula pada jam 11.30 pagi di sekitar Klang sebelum diteruskan di kawasan Alam Megah pada jam 3.50 petang.

Katanya, di sekitar Klang seramai 1,143 individu telah diperiksa membabitkan pelbagai premis perniagaan yang dipercayai menggaji atau dikendalikan warga asing.

“Hasil pemeriksaan, seramai 73 warga asing telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Dalam operasi berasingan di Alam Megah pula, JIM Selangor berkata seramai 111 individu telah diperiksa.

Menurutnya, pemeriksaan itu membawa kepada penahanan 22 lagi warga asing yang dipercayai melakukan kesalahan di bawah akta sama.

Secara keseluruhannya, operasi di kedua-dua lokasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 1,254 individu dengan 95 warga asing ditahan untuk siasatan serta tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

JIM Selangor berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen serta memastikan majikan dan orang awam sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, mana-mana pihak diingatkan supaya tidak menggaji, melindungi atau memberi perlindungan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang didapati melanggar undang-undang.