Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan supaya keselamatan dan kesihatan murid diberi keutamaan susulan keadaan jerebu yang semakin membimbangkan.
Berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berterusan pada paras antara 150 hingga 180, Baginda menasihatkan supaya sekolah di kawasan terjejas ditutup.
Agong Nasihat Sekolah Di Kawasan Terjejas Ditutup
Titah Baginda, aspek kesihatan dan keselamatan murid serta pelajar perlu diberikan keutamaan, selain meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi perhatian serius terhadap perkara tersebut.
“Langkah sewajarnya perlu diambil oleh kementerian dan agensi yang berkenaan bagi melindungi murid dan pelajar, termasuk warga emas serta pesakit respiratori.
“Sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka dan mengurangkan sebarang aktiviti luar susulan keadaan jerebu,” titah Sultan Ibrahim kepada Royal Press Office (RPO).
Sebelum ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menitahkan penutupan sekolah selama dua hari di Johor susulan keadaan jerebu dan kemerosotan kualiti udara.
Langkah berkenaan dibuat sebagai usaha melindungi murid serta warga sekolah daripada risiko kesihatan susulan keadaan kualiti udara yang semakin merosot.

