Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 180 akan ditutup mulai esok.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, keputusan itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan diberi keutamaan berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.
Menurutnya, institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut pula akan ditutup bermula Isnin depan.
“Bagi institusi pendidikan di kawasan yang mencatat bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut pula akan ditutup bermula Isnin depan.
“Sekolah dan institusi pendidikan bawah KPM yang terjejas dikehendaki melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataan sama, KPM memaklumkan guru dan anggota kumpulan pelaksana turut dibenarkan bekerja dari rumah sepanjang tempoh penutupan berdasarkan pertimbangan Menteri Pendidikan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan bawah KPM pula hendaklah membuat pemantauan secara berterusan serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya bacaan IPU melebihi paras yang ditetapkan.
KPM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan keadaan jerebu dari semasa ke semasa serta mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan terus terpelihara.


