Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jelajah Malaysia Digital 2026 Perkasa Rakyat Ke Arah Negara AI 2030

Jelajah Malaysia Digital 2026

Jelajah Malaysia Digital 2026 Perkasa Rakyat Ke Arah Negara AI 2030

Kementerian Digital terus memperkasa rakyat dengan kemahiran, pengetahuan dan peluang dalam ekonomi digital menerusi siri Jelajah Malaysia Digital (JMD) 2026, sebuah inisiatif nasional, selaras dengan aspirasi Malaysia Digital 2030 (MD2030) serta matlamat menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

JMD yang dilaksanakan bersama agensi-agensi di bawah payung kementerian akan membawa latihan, teknologi, peluang kerjaya dan keusahawanan digital lebih dekat kepada rakyat menerusi kerjasama antara kerajaan, industri, institusi pendidikan dan komuniti.

Menteri Digital, YB Tuan Gobind Singh Deo berkata, JMD membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan manfaat transformasi digital dapat dinikmati oleh semua rakyat.

"Melalui Jelajah Malaysia Digital (JMD), lebih ramai rakyat dapat mengakses kemahiran digital, teknologi baharu dan peluang ekonomi yang mampu meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh daya saing negara. Usaha ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan untuk membangunkan bakat digital yang bersedia menghadapi era kecerdasan buatan (AI), memperkukuh daya saing negara dan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai sebuah Negara AI menjelang tahun 2030”, katanya.

Hampir 1,000 pengunjung menyertai pelancaran Jelajah Malaysia Digital (JMD) di Dewan Komuniti Damansara Damai hari ini yang merupakan lokasi pertama bagi siri jelajah yang bakal di adakan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil berkata, JMD menjadi platform yang menghubungkan rakyat dengan peluang latihan, pekerjaan, keusahawanan dan teknologi digital.

"JMD membuka laluan kepada rakyat untuk membina kemahiran, meneroka kerjaya baharu, menjana pendapatan dan mengembangkan perniagaan. Dengan memperluaskan akses kepada teknologi digital dan AI, kita bukan sahaja memperkasa rakyat, malah mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara,” katanya.

Majlis pelancaran JMD 2026 turut menyaksikan penyampaian geran kepada tujuh syarikat tempatan menerusi Malaysia Digital Catalyst Grant (MDCG) dan Digital Content Grant Programme (DCGP), sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh inovasi, pembangunan harta intelek (IP) serta pertumbuhan syarikat digital tempatan selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang tahun 2030.

Penerima geran tersebut ialah TFX Islamic Sdn. Bhd., AI Teacher Sdn. Bhd., Zetvest Sdn. Bhd., eVULX International Sdn. Bhd., Hidden Chest Studio Sdn. Bhd., Omens Animation Studios Sdn. Bhd. dan Lil Critter Workshop Sdn. Bhd.

Sepanjang siri jelajah ini, JMD 2026 menyasarkan 500,000 capaian dan penglibatan secara fizikal serta dalam talian, melibatkan pelajar, belia, pencari kerja, pekerja bebas dan usahawan digital.

Selaras dengan MD2030, JMD memberi tumpuan kepada empat bidang utama iaitu Digital Literasi dan Etika, Digital Kerjaya, Digital Freelance dan Digital Perniagaan dan Keusahawanan.

Bagi edisi JMD di Damansara Damai, fokus diberikan kepada pemerkasaan usahawan tempatan melalui penggunaan teknologi digital bagi meningkatkan produktiviti, meluaskan pasaran dan menarik pelanggan baharu.

Antara pengisian utama ialah bengkel praktikal, perkongsian industri, demonstrasi AI, robotik dan dron, sesi jualan secara langsung, permainan digital serta bazar usahawan tempatan.

JMD 2026 di Damansara Damai turut mendapat sokongan pelbagai rakan agensi Kementerian Digital dan rakan strategik JMD terutama Unifi Business, PUSPAKOM, ZUS Coffee, TikTok Shop, KWSP, MyDigital ID, dan pemain-pemain industri.

Bagi memperluaskan capaian maklumat kepada rakyat, Siakap Keli turut menyokong JMD 2026 sebagai Rakan Media Digital Rasmi, menerusi penyebaran kandungan dan hebahan digital sepanjang siri jelajah ini.

Damansara Damai merupakan lokasi pertama daripada lima siri jelajah yang akan dilaksanakan di seluruh negara bagi memastikan lebih ramai rakyat mendapat akses kepada ekosistem ekonomi digital.

Selepas Selangor, siri JMD 2026 akan diteruskan ke Dewan Bistari Ayer Keroh, Melaka, pada 15 Ogos 2026, sebelum menjelajah tiga lagi lokasi yang akan diumumkan kelak.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini JMD 2026, layari www.mdec.my atau ikuti saluran media sosial rasmi MDEC.

Intipati
  • JMD 2026 dilancarkan di Damansara Damai sebagai lokasi pertama jelajah seluruh negara.
  • Inisiatif itu membawa latihan, teknologi, peluang kerjaya dan keusahawanan digital kepada rakyat.
  • Tujuh syarikat tempatan menerima geran MDCG dan DCGP pada majlis pelancaran tersebut.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan