Hajat seorang murid di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, Kuala Lumpur, untuk menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Karnival Anak Malaysia di sekolahnya tercapai.
Menerusi hantaran di Threads, Anwar berkata beliau sempat singgah di sekolah terbabit walaupun jadual padat hari ini.
“Baru-baru ini saya terima jemputan daripada Muadz, murid di Sekolah Kebangsaan Polis Depot, untuk saya datang ke Karnival Anak Malaysia di sekolahnya.
“Walaupun jadual padat hari ini, saya sempat juga singgah sebentar kerana tidak mahu hampakan anak kecil ini.
“Alhamdulillah, terkejut juga tengok meriahnya karnival ini, dah macam hari keluarga.
“Seronok tengok anak-anak bersemangat menyertai pelbagai aktiviti, ada yang berpakaian seperti polis, tentera dan bomba, di samping ibu bapa pun turut sama memeriahkan karnival anjuran sekolah,” katanya.


Anwar berkata beliau juga sempat mendengar sendiri daripada guru besar mengenai beberapa perkara yang memerlukan perhatian, khususnya keadaan kemudahan sekolah serta keselesaan dan keselamatan murid.


“Insya-Allah, saya akan teliti perkara yang dibangkitkan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Muadz kerana menjemputnya.
“Terima kasih, Muadz kerana jemput saya. Terima kasih juga buat anak-anak yang menyambut saya dengan senyuman. Teruslah tekun menuntut ilmu, sayangi ibu bapa dan hormati guru.
“Saya doakan kalian berjaya dalam mengejar cita-cita serta suatu hari nanti dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.
