Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Jadikan Sebuah Institusi TVET MARA Sebagai Pusat Latihan E-Sukan - Ahmad Zahid

TEVET
Kredit: Bernama

MELAKA, 10 Nov (Bernama) --Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA dijadikan sebagai pusat latihan e-sukan bagi melatih anak muda untuk industri itu.

Iklan

Beliau berkata langkah itu bagi mengukuhkan industri tersebut sekali gus melahirkan lebih ramai pemain bertaraf antarabangsa selain mewujudkan ekosistem kandungan e-sukan tempatan.

“Saya sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara berhasrat menjadikan e-sukan ini sebagai satu industri, satu perusahaan, satu bidang ilmu dan satu bidang pendidikan.

“Untuk itu, saya sudah berbincang dengan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam usaha membuka peluang kepada anak muda di seluruh negara untuk mendalami bidang berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan program e-sukan di Duyong di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu berkata kursus e-sukan yang dirancang pada peringkat sijil itu akan diperluas ke peringkat diploma, dengan peluang untuk peserta melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah dalam bidang berkenaan.

“Insya-Allah, kursus-kursus bukan hanya sekadar kursus persijilan tetapi akan kita tingkatkan kepada diploma, dan Universiti Kuala Lumpur bersedia menjadi lokasi untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka dapat ijazah dalam bidang ini.

“Ini supaya hobi e-sukan turut menjana pendapatan kepada anak-anak muda,” katanya.

Menyentuh pencapaian pemain negara, Ahmad Zahid berharap lebih ramai peserta Malaysia dapat menjuarai kejohanan antarabangsa menyusuli kejayaan pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang membawa pulang hadiah bernilai USD1 juta.

Pada Julai 2024, SRG melakar sejarah sebagai pasukan Malaysia pertama menjuarai Mid Season Cup bagi permainan Mobile Legends: Bang Bang selepas menewaskan wakil Filipina, Falcons AP.Bren, 4-3 pada perlawanan akhir di Riyadh, Arab Saudi.

-- BERNAMA

Intipati
  • Ahmad Zahid mencadangkan sebuah institusi TVET MARA menjadi pusat latihan e-sukan negara.
  • Kursus e-sukan dirancang bermula pada peringkat sijil dan diperluas hingga ijazah.
  • Beliau berharap lebih ramai pemain Malaysia menyusuli kejayaan antarabangsa Selangor Red Giants.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan