Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Israel Kibarkan Bendera Di Istana Beaufort

Hannah
israel istana Beaufort
Gambar: AFP

Israel Kibarkan Bendera Di Istana Beaufort

Tentera Israel dilaporkan mengibarkan bendera negara itu di sebuah kubu zaman pertengahan dikenali sebagai Beaufort di selatan Lubnan pada Jumaat, sekali gus menandakan peningkatan operasi darat di kawasan tersebut.

Tindakan itu berlaku ketika Israel mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk awam di beberapa kawasan selatan Lubnan susulan operasi ketenteraan yang diperluaskan, lapor AFP.

Menurut laporan media antarabangsa, asap tebal dan bunyi bedilan artileri kedengaran di sekitar kawasan kubu bersejarah itu ketika bendera Israel kelihatan dikibarkan di atas kubu berkenaan.

Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mendakwa tenteranya berjaya menawan kubu strategik tersebut yang mempunyai pemandangan luas ke arah selatan Lubnan.

Beliau berkata, operasi itu dilancarkan sempena memperingati tentera Israel yang terkorban dalam Perang Lubnan Pertama.

"44 tahun selepas Pertempuran Beaufort yang dianggap bersejarah, dan pada hari memperingati anggota tentera yang terkorban dalam Perang Lubnan Pertama, pasukan kami kembali ke puncak Beaufort dan sekali lagi mengibarkan bendera Israel di sana.

"Di bawah arahan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta kepimpinan saya, tentera Israel (IDF) memperluaskan operasi di Lubnan, menyeberangi Sungai Litani dan berjaya menawan Banjaran Beaufort yang merupakan antara lokasi strategik paling penting bagi mempertahankan komuniti Galilee serta memastikan keselamatan pasukan kami," katanya menerusi hantaran di media sosial.

Gambar: AFP

Untuk info, Beaufort sebelum ini pernah digunakan tentera Israel sebagai pangkalan ketika pendudukan mereka di selatan Lubnan selama hampir dua dekad.

Lubnan menyifatkan Israel melaksanakan 'dasar bumi hangus'

Dalam masa sama, tentera Israel turut mengumumkan arahan pemindahan besar-besaran melibatkan kawasan di selatan Sungai Zahrani dan utara Sungai Litani, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Israel-Lubnan.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee memberi amaran bahawa mana-mana bangunan yang didakwa digunakan oleh kumpulan Hezbollah bagi tujuan ketenteraan boleh menjadi sasaran serangan.

Tentera Israel memaklumkan sejumlah besar anggota tenteranya telah memulakan operasi ofensif bagi memperluaskan zon pertahanan mereka di selatan Lubnan.

Sementara itu, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam mengecam tindakan Israel dan menyifatkannya sebagai 'dasar bumi hangus' serta hukuman kolektif terhadap rakyat Lubnan.

Beliau mendakwa serangan tersebut memusnahkan bandar dan kampung selain memaksa penduduk meninggalkan kediaman masing-masing.

Saling tuduh langgar perjanjian gencatan senjata

Dalam perkembangan berkaitan, delegasi ketenteraan Israel dan Lubnan dilaporkan mengadakan rundingan keselamatan di Washington, Amerika Syarikat pada Jumaat dengan satu lagi rundingan politik dijadual berlangsung minggu depan menerusi pengantaraan Amerika Syarikat.

Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hezbollah secara rasmi bermula pada 17 April lalu, kedua-dua pihak terus saling menuduh melanggar perjanjian tersebut.

Kumpulan Hezbollah yang disokong Iran pula menolak rundingan secara langsung itu dan mendakwa mereka melancarkan beberapa serangan ke arah utara Israel selain bertempur dengan tentera Israel di selatan Lubnan.

Hezbollah mendakwa tenteranya sedang berdepan dengan pasukan Israel di sekitar bandar Zawtar al-Sharqiyah, Yohmor al-Shaqif dan Dibbine, sambil menegaskan tentera Israel masih belum berjaya menguasai kawasan terbabit sepenuhnya.

Tentera Israel pula memaklumkan lebih 25 roket dilancarkan dari Lubnan ke arah Israel pada Sabtu, menyebabkan siren amaran serangan berbunyi di beberapa bandar utara Israel buat kali pertama sejak gencatan senjata diumumkan.

Dalam satu lagi insiden, tentera Israel mengesahkan seorang anggotanya terbunuh akibat serangan dron bahan letupan yang didakwa dilancarkan Hezbollah.

Kematian itu menjadikan jumlah anggota tentera Israel yang terbunuh di Lubnan sejak awal Mac meningkat kepada 25 orang.

Manakala menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, lebih 3,371 orang dilaporkan terbunuh akibat serangan Israel sejak 2 Mac lalu, lapor AFP.