Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Tiga Remaja Cedera, Bendera Perarakan Terkena Talian Pencawang Elektrik

Tiga Remaja Cedera
Kredit: Orang Awam Via Bernama

ALOR SETAR, 13 Okt (Bernama) -- Tiga remaja lelaki cedera akibat terkena renjatan elektrik selepas bendera yang dibawa semasa perarakan tokong sayur di Mergong, dekat sini, malam ini dipercayai terkena talian pencawang elektrik bervoltan tinggi.

Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong Chah Boon Chuan berkata kejadian kira-kira pukul 9 malam itu mengakibatkan dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang lagi yang berusia 16 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

“Kejadian berlaku ketika ribuan peserta perarakan sedang berarak di jalan utama di kawasan berkenaan sebelum satu bendera dipercayai terkena talian elektrik. Bendera itu ditiup angin kencang ketika hujan rintik sebelum disyaki terkena pada talian elektrik.

“Seorang remaja yang memegang bendera serta dua lagi yang berada berhampiran cedera akibat terkena renjatan elektrik. Ketiga-tiga mereka difahamkan sedang dirawat di zon merah HSB,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma HSB, malam ini.

Beliau berkata tiga remaja itu masih menerima rawatan dan keadaan terkini mereka masih belum diketahui.

“Batang bendera yang digunakan untuk membawa bendera itu diperbuat daripada buluh dan ini merupakan kejadian pertama berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video di laman media sosial mengenai kejadian itu termasuk keadaan mangsa yang terbaring di atas jalan.

Intipati
  • Tiga remaja lelaki cedera selepas bendera perarakan dipercayai terkena talian elektrik bervoltan tinggi.
  • Dua mangsa berusia 17 tahun dan seorang 16 tahun dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
  • Keadaan terkini mangsa masih belum diketahui, menurut Setiausaha Persatuan Tokong Sayur Mergong.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan