Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob antara 6,442 graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang bakal diraikan sempena Majlis Konvokesyen Ke-39 universiti itu bermula 15 hingga 19 November ini.
Beliau merupakan antara tokoh yang bakal menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selepas berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Sains Politik.
Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, majlis yang berlangsung di Dewan Mu'adzam Shah, kampus UUM itu akan diadakan menerusi sembilan sesi.
Katanya, Tuanku Canselor Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengisytiharkan sesi pertama serta mengurniakan ijazah kepada para graduan.
“Daripada keseluruhan graduan, seramai 5,296 merupakan graduan sarjana muda, manakala 1,082 lagi graduan pascasiswazah yang merangkumi pengajian Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan sarjana, termasuk 37 graduan Diploma Eksekutif Pengurusan Perniagaan.
“Majlis ini turut membabitkan 5,952 graduan tempatan dan 490 graduan antarabangsa, termasuk dari China seramai 172 orang, Indonesia (108), Pakistan (31), Iraq (21), Emiriah Arab Bersatu (16), Nigeria (15) dan Somalia (14),” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Martadha berkata, UUM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi, Operasi dan Logistik) kepada Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim, 66.
Katanya, Ijazah Kehormat Sarjana Sains (Pengurusan Pendidikan) pula diberikan kepada pengasas Pusat Tuisyen Akademik Darul Bakti Kubang Pasu, Zainol Abidin Mohamad, 68, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Non.
“Selain itu, Prof Dr Rosna Awang Hashim dianugerahkan gelaran Profesor Emerita selepas berkhidmat lebih 35 tahun di UUM, termasuk 21 tahun sebagai profesor.
“Turut mencuri perhatian, pelakon Datuk Idris Md Yusof atau lebih dikenali sebagai Eizlan Yusof yang berjaya menamatkan pengajian dalam program Sarjana Sains (Pengurusan),” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, seramai 1,104 daripada 5,296 graduan sarjana muda berjaya memperoleh ijazah kelas pertama.
Katanya, daripada jumlah itu, 106 graduan yang memperoleh Purata Mata Gred Keseluruhan (PMK) sekurang-kurangnya 3.67 turut diiktiraf atas kecemerlangan menyeluruh yang merangkumi pencapaian akademik, kepimpinan, sahsiah serta penglibatan dalam aktiviti masyarakat dan universiti.
“Bagi menghargai pencapaian itu, UUM memperuntukkan RM225,000 kepada pelajar cemerlang berkenaan.
“Anugerah Pelajaran Diraja diberikan kepada Irfan Umar Mohd Nor Fazly, 24, dari Petaling Jaya, Selangor dan Ooi Sze Qin, 24, dari Cheras, Selangor, manakala Anugerah Pingat Emas Canselor dianugerahkan kepada Aina Najihah Safaruddin, 24, dari Kuala Kangsar, Perak.
“Penerima Anugerah Pelajaran Diraja masing-masing menerima RM7,500 berserta sijil, manakala penerima Anugerah Pingat Emas Canselor menerima RM5,000 berserta sijil,” katanya.
Beliau berkata, buat julung kali, seramai 46 penerima Pingat Emas Naib Canselor turut menerima wang tunai RM2,000 seorang selain pingat dan sijil, membabitkan peruntukan keseluruhan RM92,000.

