Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Dua Kes Suspek Hantavirus Di Indonesia Disahkan Negatif
Kementerian Kesihatan Indonesia mengesahkan dua kes suspek hantavirus di Jakarta dan Yogyakarta didapati negatif dan telah sembuh sepenuhnya.
Ketua Biro Komunikasi dan Perkhidmatan Awam Kementerian Kesihatan, Aji Muhawarman mengesahkan perkara itu kepada BBC Indonesia.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua individu itu tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara.
Wabak hantavirus telah menarik perhatian umum selepas virus tersebut dikesan di kapal persiaran MV Hondius yang berlayar dari Argentina dan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga kematian.
Menteri Kesihatan Indonesia, Budi Gunadi Sadikin berkata, pihaknya bersedia dengan penularan hantavirus varian Andes yang dilaporkan masih tertumpu di kapal tersebut.
Tambahnya, Indonesia juga memiliki panduan pemeriksaan untuk hantavirus, termasuk dalam bentuk rapid test seperti Covid-19 atau reagen yang digunakan di mesin PCR.
Ahli epidemiologi, Masdalina Pane pula menerangkan bahawa hantavirus bukanlah penyakit baharu di Indonesia. Dalam tempoh tiga tahun terakhir, terdapat lebih daripada 250 kes suspek hantavirus, namun hanya 23 kes yang disahkan positif.
Sementara itu, negara-negara di seluruh dunia sedang berusaha mencegah penularan lanjut hantavirus dengan memeriksa para penumpang yang telah turun dari kapal sebelum virus itu dikesan, serta sesiapa sahaja yang sempat melakukan kontak rapat dengan mereka selepas itu.
Dalam perkembangan terbaharu, pihak berkuasa kesihatan Singapura turut mengesahkan terdapat dua warganya yang menjadi suspek hantavirus selepas berada di kapal MV Hondius, yang berlepas dari Pelabuhan Ushuaia, Argentina pada 1 April.
Kedua-duanya kini sedang menjalani ikuarantin di National Centre for Infectious Diseases (NCID) bagi memastikan sama ada mereka telah dijangkiti atau tidak. Setakat ini, keputusan ujian masih menunggu proses makmal.
Sebelumnya, pada Khamis lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa lima daripada lapan kes suspek hantavirus telah disahkan.
Sebanyak tiga orang telah meninggal dunia, termasuk seorang wanita Belanda berusia 69 tahun yang dijangkiti virus tersebut, suaminya yang juga warganegara Belanda, serta seorang wanita Jerman.
Untuk makluman, kapal pesiar MV Hondius memulakan pelayaran pada 1 April dari Pelabuhan Ushuaia, Argentina, dan dijangka tiba di Kepulauan Canary, Sepanyol pada 10 Mei. Sekitar 150 penumpang dan kru dari 28 negara pada awalnya berada di dalam kapal tersebut