BUKIT MERTAJAM, 24 Sept (Bernama) -- Idrus Ibrahim, abang kandung Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak menunjukkan sebarang tanda luar biasa sebelum ditemukan meninggal dunia ketika sedang tidur di rumahnya di Cheruk Tokkun di sini, petang tadi.
Anaknya Aida Rafizah Idrus, 54, berkata bapanya yang berusia 83 tahun, pernah mengalami serangan jantung tahun lepas, namun keadaan kesihatannya kembali pulih dan hanya menunjukkan kurang selera makan sejak kebelakangan ini.
Aida Rafizah berkata meskipun kekuatan kaki bapanya tidak lagi seperti dahulu, Allahyarham masih mampu bangun dan berjalan serta menguruskan diri sendiri.
“Kami memang tak sangka, tak duga langsung (meninggal dunia). Allahyarham juga tidak menunjukkan sebarang tanda sakit pada tengah hari tadi, cuma arwah (tengah hari tadi) hanya makan sedikit buah kiwi dan kuih tepung bungkus sahaja, selepas itu ayah bagitahu dia nak rehat.
“Jadi Allahyarham baring sebelum tidur dan berkemungkinan mahu bangun untuk menunaikan solat asar berdasarkan keadaan Allahyarham yang ketika itu sudah meletakkan kain pelekat yang digunakan untuk solat, saya kejutkan ayah tapi masa itu sudah tidak sedar iaitu kira-kira 5.30 petang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook hari ini berkongsi berita duka mengenai pemergian abang kandungnya itu ketika beliau dalam perjalanan pulang ke tanah air selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke China.
Anwar berkata beliau terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat akhir, selain memohon orang ramai menitipkan doa dan al-Fatihah buat Allahyarham.
Aida Rafizah yang tinggal bersama bapanya dan ibu, Faridah Hanim Mohd Ghouse, 80, berkata pemergian bapanya amat mengejutkan keluarga kerana Allahyarham tidak menghidap penyakit kronik dan sebelum ini menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala di hospital.
Katanya, pasukan perubatan mengesahkan bapanya meninggal dunia kerana sakit tua dan keluarga reda dengan pemergian insan tersayang itu meskipun masih diselubungi rasa terkejut dan sedih.
“Abang saya yang tinggal di Kuala Lumpur dan dua adik saya di Johor dalam perjalanan balik ke sini,” katanya.
Aida Rafizah yang juga anak kedua daripada empat beradik berkata jenazah bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheruk Tokkun Bawah selepas solat Jumaat esok.
Idrus yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik, meninggalkan seorang isteri, empat anak serta 10 cucu.
Tinjauan Bernama di kediaman Allahyarham mendapati orang ramai hadir menziarahi jenazah serta menyertai majlis tahlil, manakala beberapa khemah turut dipasang di pekarangan rumah.
Yang Dipertua Negeri Tun Ramli Ngah Talib dijangka hadir menziarahi jenazah esok.
Polis turut mengawal lalu lintas di kawasan berkenaan susulan kehadiran orang ramai.

