Abang sulung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Idrus Ibrahim telah menghembuskan nafas terakhir pada Khamis.
Berita duka itu dikongsikan sendiri oleh Anwar menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Anwar berkata beliau menerima khabar yang meruntun jiwa itu ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
Idrus Ibrahim Meninggal Dunia
“Dalam perjalanan pulang ke Malaysia, saya menerima khabar yang meruntun jiwa bahawa abang saya, Idrus Ibrahim, telah pergi buat selama-lamanya.
“Sukar untuk saya ungkapkan rasa kehilangan ini apabila seorang sosok yang berkongsi begitu banyak kenangan sepanjang perjalanan hidup kini telah tiada, dan hanya Allah SWT yang tahu betapa beratnya hati menerima kenyataan ini,” katanya.
Perdana Menteri turut meluahkan rasa terkilan kerana tidak sempat berada di sisi Allahyarham pada saat-saat terakhirnya.
“Terkilan kerana tidak sempat berada di sisi pada saat-saat akhirnya, namun saya reda meski hati ini masih cuba menerima sebuah perpisahan yang tidak pernah kita bersedia untuk hadapi.
“Terima kasih atas segala kenangan dan kebaikan yang ditinggalkan dan semuanya akan kekal terpahat dalam ingatan dan hati kami,” ujarnya.
Beliau turut memohon agar orang ramai menitipkan doa buat Allahyarham.
“Semoga Allah SWT mengampuni segala khilafnya, melimpahkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

