Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Air India Express memohon maaf kepada seorang wanita dari Tripura, India, susulan dakwaan anak lelakinya yang berusia 30 tahun dan merupakan individu autistik menerima layanan tidak wajar daripada dua kakitangan syarikat penerbangan itu di Lapangan Terbang Maharaja Bir Bikram, Agartala, Sabtu lalu.
Memetik laporan The New Indian Express, wanita berkenaan, Dr Ratnabali Ray Sengupta, berkata beliau dalam perjalanan ke Kolkata bersama suami yang mempunyai masalah jantung serta anak lelakinya bagi mendapatkan rawatan.
Menurutnya, insiden berlaku ketika mereka menunggu untuk menjalani pemeriksaan keselamatan sebelum menaiki pesawat.
Beliau mendakwa dua kakitangan syarikat penerbangan berkenaan menegurnya kerana anaknya mengeluarkan bunyi secara tidak sengaja, yang menurutnya merupakan tingkah laku berkaitan autismenya.
“Anak saya tidak ganas, namun saya diberitahu juruterbang mungkin menurunkan kami daripada pesawat, penumpang lain mungkin membantah perjalanan kami dan saya perlu memberikan anak saya ubat tidur.
“Kenyataan itu menyebabkan saya mengalami tekanan emosi dan ketakutan sepanjang perjalanan,” katanya seperti dilaporkan The New Indian Express.
Sengupta berkata, anaknya ada mengeluarkan beberapa bunyi sepanjang penerbangan, namun tiada penumpang atau kru kabin yang membuat sebarang aduan terhadap mereka.
Beliau menyifatkan tindakan dua kakitangan terbabit sebagai tidak sensitif dan diskriminasi terhadap individu autistik serta menegaskan golongan berkeperluan khas mempunyai hak yang sama untuk melakukan perjalanan dengan penuh bermaruah.
Katanya, beliau sebelum ini pernah ditanya ketika melakukan perjalanan sama ada anaknya berkemungkinan bertindak ganas, namun tidak pernah berdepan situasi seperti yang berlaku kali ini.
“Dia bekerjasama dan tidak bertindak ganas,” katanya.
Sementara itu, Air India Express dalam maklum balasnya menyatakan kekesalan terhadap tekanan emosi yang dialami keluarga berkenaan serta mengakui pengalaman tersebut sememangnya boleh mengganggu mereka.
“Kami memohon maaf atas kesulitan dan tekanan emosi yang dialami. Air India Express komited untuk melayan semua penumpang dengan penuh maruah, hormat dan empati,” menurut syarikat penerbangan itu.
Menurutnya, maklum balas berhubung interaksi dengan kakitangan terbabit telah disampaikan kepada pasukan berkaitan untuk semakan serta langkah kesedaran dan penambahbaikan yang sewajarnya.