Tindakan seorang lelaki yang sanggup berhenti di tepi jalan ketika hujan lebat demi membantu seekor anak anjing terjerat plastik meraih pujian pengguna media sosial.
Menerusi video yang dikongsikan pengguna Threads, @zumazael_, lelaki berbaju merah itu dilihat mencangkung sambil memegang payung ketika cuba menanggalkan plastik berwarna merah jambu yang tersangkut pada kepala anak anjing berkenaan.

Walaupun dirinya turut dibasahi hujan, lelaki itu tetap berusaha membantu haiwan tersebut sehingga plastik yang menjerat kepalanya berjaya ditanggalkan.
Tindakan spontan itu menyentuh hati warga maya yang memuji keprihatinannya kerana tidak membiarkan anak anjing berkenaan terus berada dalam keadaan sedemikian.
Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial turut memberikan reaksi positif terhadap tindakan lelaki itu.
“Terbaik, bang. Semoga lampu isyarat sentiasa hijau dan kalau ada sekatan jalan raya, tidak kena tahan,” komen seorang pengguna.

“Sedih tengok dia duduk dalam hujan menunggu orang datang membantu. Terima kasih, orang baik,” kata seorang lagi pengguna.
“Anak anjing ini makan makanan yang diberikan orang. Comel pula,” komen pengguna lain.
Bagaimanapun, gelagat anak anjing itu turut mencuit hati beberapa pengguna yang memberikan komen secara berseloroh.
“Entah apa yang dia cari dalam plastik itu. Mungkin dia tidak mahu kepalanya terkena hujan,” tulis seorang pengguna.
“Orang nak tolong, dia pula malu,” seloroh seorang lagi.
“Mungkin dia nak lindungi kepala daripada hujan, tetapi tidak boleh pegang payung,” komen pengguna lain.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi, dengan ramai memuji tindakan lelaki berkenaan yang sanggup meluangkan masa dan membantu haiwan kecil itu meskipun dalam keadaan hujan lebat.

