Honda Malaysia hari ini melancarkan City Hatchback baharu yang tampil dengan reka bentuk lebih segar, teknologi ketersambungan dipertingkat serta ciri keselamatan menyeluruh, pada harga bermula RM95,900.
Model segmen B itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu V, Petrol RS dan e:HEV RS, masing-masing pada harga atas jalan tanpa insurans RM95,900, RM100,900 dan RM112,900.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata City Hatchback terus mendapat sambutan dalam kalangan pelanggan Malaysia, khususnya golongan profesional muda yang mengutamakan gaya, keunikan dan fleksibiliti.
“Berteraskan kekuatan tersebut, City Hatchback baharu diperkenalkan dengan sentuhan reka bentuk terkini, ketersambungan lebih baik serta rangkaian ciri keselamatan yang lengkap bagi memenuhi perubahan jangkaan pelanggan.
“Kami percaya penambahbaikan ini akan meningkatkan lagi pengalaman pemilikan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Honda Malaysia dalam segmen B,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dari segi penampilan, City Hatchback baharu dilengkapi susun atur lampu hadapan bersepadu yang menggabungkan lampu utama Connected Headlights dan Bi-LED, selain rim aloi dua tona bersaiz 16 inci.
Model itu ditawarkan dalam empat pilihan warna iaitu Platinum White Pearl, Meteoroid Gray Metallic, Stellar Diamond Pearl dan warna baharu Blazing Red Pearl.
Bagaimanapun, warna Stellar Diamond Pearl hanya ditawarkan bagi varian petrol.
Bahagian kabin pula menerima beberapa penambahbaikan termasuk kemasan papan pemuka bercorak tiga dimensi, pencahayaan ambien serta sistem paparan audio bersaiz 10 inci.
Varian RS turut menerima kemasan tempat duduk sport baharu dengan jahitan merah, manakala pengecas tanpa wayar disediakan khusus bagi varian e:HEV.
City Hatchback baharu turut mengekalkan ciri ULTRA Seats yang menawarkan empat konfigurasi iaitu Utility, Long, Tall dan Refresh bagi membolehkan ruang kabin disesuaikan mengikut keperluan pengguna.
Dari aspek keselamatan, sistem Blind Spot Information dengan Cross Traffic Monitoring, Honda LaneWatch dan Honda SENSING kini ditawarkan sebagai ciri standard bagi semua varian.
Sistem kamera pandangan sekeliling 360 darjah pula disediakan bagi varian RS.
Bagi pilihan rangkaian kuasa, model itu ditawarkan dengan enjin petrol 1.5 liter DOHC i-VTEC atau sistem hibrid 1.5 liter e:HEV.
Varian e:HEV RS mampu menghasilkan kuasa 109PS dan tork 253Nm, selain menerima jaminan bateri hibrid selama 10 tahun tanpa had perbatuan.
Honda Malaysia turut menawarkan jaminan kenderaan selama lapan tahun tanpa had perbatuan bagi kedua-dua varian petrol dan hibrid, tertakluk kepada terma dan syarat.
Sempena pelancaran itu, pelanggan yang mendaftarkan mana-mana varian City Hatchback baharu layak menerima ganjaran tunai RM4,000.
Pemilik Honda sedia ada yang menukar beli kenderaan menerusi program Honda Certified Used Car (HCUC) terpilih pula boleh menikmati rebat tambahan RM2,000.
Selain itu, pelanggan yang menukar beli kenderaan daripada mana-mana jenama menerusi kerjasama Honda Malaysia dengan CARSOME di pengedar sah yang mengambil bahagian layak menerima rebat RM1,000.
Semua tawaran berkenaan tertakluk kepada terma dan syarat.
Orang ramai yang berminat untuk membuat tempahan atau memandu uji City Hatchback baharu boleh melayari https://prebook.honda.com.my/ atau mengunjungi pengedar sah Honda di seluruh negara.

