Honda Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi City Hatchback Baharu, susulan pelancaran City Sedan Baharu, sekali gus memperkukuh barisan model City dengan dua gaya badan berbeza bagi memenuhi pelbagai gaya hidup dan pilihan pelanggan.
City Hatchback Baharu tampil dengan gaya yang diperbaharui, kesalinghubungan yang dipertingkat serta teknologi keselamatan komprehensif, menjadikannya antara model hatchback kompak yang terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.
Model baharu itu mencerminkan komitmen Honda Malaysia untuk terus berkembang seiring perubahan trend pasaran, selain menawarkan produk yang disesuaikan dengan gaya hidup moden dan aktif.
Direka khusus untuk golongan profesional muda yang mahukan sebuah kenderaan bergaya tetapi praktikal, City Hatchback Baharu menggabungkan pengalaman pemanduan tersendiri Honda dengan fleksibiliti serta ruang kabin yang versatil, menjadikannya sesuai untuk perjalanan harian di bandar mahupun aktiviti hujung minggu.
Rekaan Luaran Lebih Sporty Dan Moden
City Hatchback Baharu menampilkan rekaan luaran yang lebih sporty dan kontemporari.
Bagi semua varian, bahagian hadapan hatchback segmen-B itu telah direka semula dengan profil yang lebih tajam dan kemas, dilengkapi Connected Headlights baharu bagi menyerlahkan lagi penampilannya di jalan raya.
Rekaan rim turut dikemas kini, termasuk rim aloi dua tona bersaiz 16 inci dengan kemasan Berlina Black dan Dark Clear bagi varian RS.
Kabin Dinaik Taraf, Skrin 10 Inci & ULTRA Seats Kekal Ditawarkan
Elemen moden turut dibawa ke bahagian dalaman menerusi beberapa peningkatan yang memberikan suasana lebih premium dan dinamik.
Papan pemuka kini menerima 3D Pattern Mid Garnish yang dipadankan dengan Ambient Light bagi mewujudkan suasana lebih menarik sebaik sahaja pengguna memasuki kabin.
Pengalaman pengguna turut dipertingkat menerusi sistem Display Audio 10 inci yang lebih besar dengan reka bentuk terapung, sekali gus menawarkan interaksi dan pengendalian yang lebih mudah.
City Hatchback Baharu turut mengekalkan ciri ULTRA Seats, yang merujuk kepada konfigurasi Utility, Long, Tall dan Refresh.
Empat konfigurasi tempat duduk itu membolehkan pengguna mengoptimumkan ruang kabin mengikut keperluan dan pilihan masing-masing.
Varian e:HEV Tawar 253Nm Tork
Berbekalkan pengalaman selama 22 tahun dalam teknologi hibrid Honda, City Hatchback Baharu terus menawarkan sistem jana kuasa 1.5L e:HEV sebagai pilihan tertinggi dalam barisan model berkenaan.
Sistem itu menghasilkan kuasa 109PS dan tork 253Nm, yang menurut Honda merupakan antara terbaik dalam kelasnya.
Bagi memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pelanggan untuk pemilikan jangka panjang, Honda Malaysia turut memperkenalkan waranti 10 tahun bagi bateri dan komponen hibrid dengan perbatuan tanpa had, tertakluk kepada terma dan syarat waranti Honda.
Ciri Keselamatan Dipertingkat
City Hatchback Baharu kini turut dilengkapi beberapa ciri bantuan pemandu sebagai kelengkapan standard.
Antaranya ialah 360° Multi-View Camera System, yang membantu meningkatkan tahap penglihatan sekeliling kenderaan dan memudahkan pemandu melakukan pergerakan serta parkir di ruang sempit.
Model itu juga dilengkapi Blind Spot Information dan Cross Traffic Monitoring, yang membantu meningkatkan kesedaran pemandu dengan memantau kawasan titik buta serta mengesan kenderaan yang menghampiri ketika mengundur.
Selain peningkatan baharu, City Hatchback terus mengekalkan karakter pemanduan yang bertenaga dan menyeronokkan.
Waranti Hingga Lapan Tahun Dengan Perbatuan Tanpa Had
Pengalaman pemilikan turut diperkukuh menerusi inisiatif terkini Honda Malaysia yang menawarkan pakej waranti sehingga lapan tahun.
Berkuat kuasa mulai 1 September 2026, semua pelanggan yang membeli model baharu Honda, sama ada petrol atau hibrid, layak menikmati perlindungan waranti sehingga lapan tahun dengan perbatuan tanpa had, tertakluk kepada terma dan syarat.
Maklumat penuh mengenai City Hatchback Baharu akan diumumkan ketika pelancaran rasmi model itu.
Pelanggan yang berminat boleh membuat tempahan menerusi laman pratempahan Honda Malaysia, mengunjungi mana-mana pengedar sah Honda atau menghubungi talian bebas tol Honda di 1-800-88-2020.

