Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Hasrat Baik Suami Pantau Kesihatan Isteri Berakhir Dengan Tragedi Berdarah
Seorang wanita didakwa membunuh suaminya selepas mendakwa mangsa terlalu kerap memeriksa keadaannya susulan pembedahan jantung terbuka yang dijalaninya, lapor New York Post.
Sheri Mitchell-Clutts, 65, didakwa menembak suaminya berusia 69 tahun, pada 10 Mei lalu sebelum menghubungi talian kecemasan dan memaklumkan bahawa dia berasa “terancam” serta “diganggu” oleh mangsa.
Anggota polis yang tiba di lokasi kejadian menemui Timothy terbaring di atas kerusi malas dengan satu kesan tembakan di dada.
Sheriff Franklin County, Shannon Oliver berkata wanita itu kelihatan tertekan ketika ditemui di lokasi kejadian.
“Raut wajahnya jelas menunjukkan dia berada dalam keadaan tertekan berdasarkan interaksi singkat saya dengannya di lokasi kejadian, namun kita tidak pernah tahu apa yang bermain di fikiran seseorang,” katanya.
Walaupun pada awalnya Sheri mendakwa dia berasa terancam oleh suaminya, siasatan lanjut kemudian mendedahkan motif sebenar kejadian berkenaan.
Wanita itu memberitahu penyiasat bahawa dia bertindak demikian kerana mangsa dikatakan berulang kali memasuki biliknya dan mengganggunya ketika dia sedang menjalani proses pemulihan selepas pembedahan jantung terbuka, dua minggu sebelum kejadian.
Menurut siasatan, Sheri yang dipercayai berang kemudian mengambil sepucuk pistol dan menunggu suaminya masuk semula ke bilik berkenaan.
Bagaimanapun, selepas mangsa tidak muncul, dia didakwa keluar mencarinya sebelum melepaskan satu das tembakan ke dada mangsa yang ketika itu sedang duduk di kerusi malas.
Pistol yang digunakan dalam kejadian itu kemudian dirampas pihak berkuasa.
Sheriff Franklin County, Shannon Oliver berkata, kes seumpama itu bukan mudah untuk disiasat dan siasatan terperinci mungkin dapat merungkai punca sebenar tindakan suspek.
“Dalam kebanyakan kes seperti ini, pihak berkuasa perlu menjejaki suspek serta mengumpul bukti di lokasi kejadian, namun dalam situasi ini dia sangat terbuka,” katanya.
“Keadaan itu menimbulkan pelbagai persoalan mengenai apa sebenarnya yang berlaku terhadap dirinya atau suaminya.”
Kes berkenaan masih dalam siasatan dan Sheri kini ditahan di Penjara Franklin County atas tuduhan membunuh tanpa dibenarkan ikat jamin.