Sebelum melangkah ke alam perkahwinan, Bella Astillah dan tunangnya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencipta satu lagi kenangan bersama apabila menyaksikan aksi Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), semalam.
Pasangan yang bakal disatukan pada 10 Oktober ini itu hadir menyaksikan sesi ujian masa F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang berlangsung di litar berkenaan.

Bagi Bella, pengalaman menyaksikan perlumbaan berprestij dunia itu secara langsung buat pertama kali menjadi kenangan istimewa, lebih-lebih lagi dapat menikmati pengalaman berkenaan bersama tunangnya.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG), Bella mengakui pengalaman pertama menonton F1 secara langsung sebagai sesuatu yang luar biasa dan menyeronokkan.
“Pertama kali di F1, dan jujur pengalaman yang luar biasa! Terbaik. Sangat menyeronokkan menikmati semuanya, dan sangat berterima kasih kepada tunang saya kerana menjadikannya kenyataan,” tulisnya.
Sementara itu, Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar turut berkongsi momen bersama Bella menerusi hantaran video terbaharu di IG.
Dalam perkongsian itu, pasangan berkenaan dilihat menyertai acara larian di Dataran Merdeka, dengan Syed Saddiq sempat mencatat masa satu jam, 38 minit dan 31 saat.
“Lari terakhir sebelum kahwin. Nasib baik dapat course Personal Best. Terima kasih Bella Astillah kerana setia menunggu,” tulisnya menerusi kapsyen.
Catatan berkenaan turut menerima ucapan tahniah daripada netizen.
Perkongsian pasangan itu juga mendapat reaksi positif daripada rakan selebriti dan pengikut yang tidak ketinggalan menitipkan doa agar segala urusan perkahwinan mereka pada 10 Oktober ini dipermudahkan.

