“Semalam semasa menyambut Tok Mad, luruh habis air mata jantan ini.”
Demikian luahan sebak seorang hos RareTV, Shauqi Hasan, ketika berkongsi perasaannya selepas kehilangan sahabat yang dikenali sebagai Tok Mad, Allahyarham Akhmal Asyraf.

Menerusi perkongsian di Threads, Shauqi mengakui cuba menahan tangisan dengan mengingati pesanan arwah supaya tidak menangis ketika Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.
Bagaimanapun, katanya, perasaan sedih sukar dibendung apabila berpeluang memeluk sahabat yang amat dirinduinya itu.
“Abang cuba bertahan juga. Abang ingat pesanan Tok Mad kepada Abang, ‘jangan menangis’, semasa arwah menghembuskan nafas terakhir.
“Tetapi fitrah manusia, mana mungkin mampu menahan perasaan ketika saat akhir berpisah dengan sahabat dunia dan akhirat.
“Dapat memeluk Tok Mad ibarat dapat melepaskan rindu yang sangat mendalam terhadap sahabat yang tidak sempat Abang dakap ketika dia memerlukan kami,” kongsi Shauqi.
Lebih menyentuh perasaan, Shauqi turut menyatakan hasrat untuk bertemu dan memeluk anak anak Allahyarham sebagai sebahagian daripada amanah yang ditinggalkan arwah.
“Hari ini, nak dakap anak anak arwah. Amanah daripada arwah @akhmal_asyraf buat kami,” tulisnya.
Meninjau ruangan komen, perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi pengguna Threads yang turut menitipkan kata kata semangat buat Shauqi serta pasukan RareTV.
“Kalau rasa hendak menangis, menangislah, ustaz. Kami faham proses menghadapi kehilangan bukan sesuatu yang mudah. Semoga segala urusan pasukan RareTV di sana dipermudahkan,” komen @lya_aa511.
“Hanya sekeping gambar, tetapi kami sudah menangis lagi,” respons @kamarudin.i.
“Ustaz, cuba kuat demi anak anak soleh @akhmal_asyraf. Ibu @kak_jiha akan sampai untuk bertemu dengan ayah mereka,” kata @umairahje.
“Menangis lagi. Tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan anak anak arwah nanti apabila melihat ketiadaan ayah mereka. Ya Allah, jagalah mereka untuk kami,” luah @azafieza.
Sementara itu, @tannnnnnntannnnnnnnn turut meluahkan rasa sedih mengenangkan pemergian Allahyarham yang disifatkan terlalu awal.
“Sedih, tidak tahu hendak cakap apa. Rasanya terlalu awal dia pergi. Kita sepatutnya meniti usia bersama, melihat anak anak membesar, menyambung pelajaran ke universiti, bergraduasi, bekerja, menguruskan legasi dan berkahwin.
“Terlalu awal untuk pergi. Bahagian paling sukar apabila kehilangan seseorang ialah kesedihan yang semakin terasa selepas pemergiannya,” tulisnya.

