Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Harga Emas Jatuh Ke Paras Terendah Dalam Tempoh Dua Bulan
Harga emas jatuh ke paras terendah dalam tempoh hampir dua bulan pada hari Rabu, susulan jangkaan dasar kewangan yang lebih ketat bagi mengekang kenaikan inflasi, di tengah-tengah ketidaktentuan mengenai penamat perang di Iran, lapor CNBC.
Harga emas spot susut 1.5 peratus kepada AS$4,388.76 seauns setakat 0740 GMT, selepas sebelum itu mencecah paras terendah sejak 26 Mac, lapot SCMP.
Naib presiden dan pakar strategi logam kanan di Zaner Metals, Peter Grant berkata ia kebimbangan terhadap inflasi akibat konflik yang berterusan.
"Pengaruh terbesar kekal didorong oleh situasi di Timur Tengah. Sebelum ini terdapat sedikit optimisme, namun apabila konflik ini terus berlarutan, keyakinan tersebut kian pudar" katanya.
Harga jongkong emas berada dalam tekanan sejak bermulanya perang AS-Israel dengan Iran pada akhir Februari lalu.
Penutupan Selat Hormuz laluan penting bagi satu perlima bekalan minyak dunia telah mencetuskan kenaikan 31 peratus harga minyak mentah Brent.
Situasi ini sekali gus menyemarakkan inflasi dan mendorong jangkaan kenaikan kadar faedah oleh bank-bank pusat di seluruh dunia.
Sementara itu, Iran dilaporkan telah memperoleh draf awal rangka kerja tidak rasmi bagi memorandum persefahaman dengan AS.
Menurut laporan TV rasmi Iran, di bawah perjanjian itu, Tehran akan memulihkan semula perkapalan komersial melalui Selat Hormuz ke tahap sebelum perang dalam tempoh sebulan.
Manakala AS akan menarik balik tentera dan menamatkan sekatan maritim.
Harga emas sempat mengurangkan sedikit kerugian sejurus selepas laporan itu tersebar.
Bagaimanapun, pasaran tetap melihat inflasi yang dipacu oleh harga tenaga akan mendorong Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk menaikkan kadar faedah penanda aras sebanyak 25 mata asas menjelang akhir tahun ini.
Meskipun emas dianggap sebagai pelindung nilai inflasi, aset yang tidak memberikan pulangan (hasil) ini biasanya bergelut dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi.