Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Gelagat Lelaki "First Time" Kerja Rider Buat Ramai Terhibur
Orang selalu cakap, buat baik itu satu pilihan. Dalam dunia yang serba pantas hari ini, ramai terlalu sibuk mengejar masa sehingga terlupa bahawa sedikit kesabaran dan sikap memahami mampu mengubah hari seseorang.
Kadang-kadang, kita mudah melenting apabila berdepan sesuatu. Silap sikit, terus marah. Lambat sikit, terus beri penilaian buruk. Sedangkan kita sendiri tidak tahu apa yang sedang dilalui oleh orang di seberang sana.
Hakikatnya, setiap orang pasti ada hari pertama dalam melakukan sesuatu.
Hari pertama bekerja, hari pertama memandu, hari pertama berniaga, malah hari pertama menghantar makanan sebagai rider. Sudah tentu akan ada kekok, gugup dan melakukan kesilapan.
Sebab itulah, apabila kita memilih untuk bersabar dan sedikit membantu, apa yang dianggap kecil bagi kita boleh memberi makna yang sangat besar kepada orang lain.
Begitulah kisah yang tular baru-baru ini di Threads apabila gelagat seorang abang rider yang baru pertama kali membuat penghantaran berjaya mencuit hati ramai.
Menerusi perkongsian seorang wanita di Threads, dia pada mulanya berasa pelik apabila menerima panggilan daripada rider yang bertanyakan lokasi rumahnya.
Apa yang menghairankan, panggilan itu diterima terlalu awal, seolah-olah rider sudah hampir tiba di kawasan rumahnya.
Namun, selepas berbual seketika, barulah wanita itu mengetahui perkara sebenar.
Rupanya, abang rider tersebut baru pertama kali bekerja sebagai penghantar makanan.
Lebih lucu, dia sebenarnya belum mengambil makanan di restoran, tetapi sudah menghubungi pelanggan untuk bertanyakan lokasi rumah.


Walaupun situasi itu agak mencuit hati, wanita berkenaan langsung tidak memarahinya.
Sebaliknya, dia dengan tenang menerangkan kepada rider tersebut bagaimana proses penghantaran sebenarnya dilakukan.

Apa yang paling mencuri perhatian ialah reaksi polos rider tersebut apabila diterangkan cara yang betul.
Jawapan ringkas itu membuatkan ramai netizen terhibur kerana dapat membayangkan betapa gugupnya seorang 'pekerja baharu' itu.
Ramai juga mengakui, mereka sendiri mungkin akan melakukan kesilapan yang sama sekiranya berada dalam situasi tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mengakui mereka terhibur membaca perkongsian tersebut.
Namun, lebih daripada itu, ramai memuji tindakan wanita berkenaan yang memilih untuk bersabar dan membantu rider tersebut, bukannya memarahinya.
"Entah kenapa saya rasa cute pula. Kesian dia struggle, selamat dapat customer yang memahami."
"Mujurlah first customer dia pun orang baik-baik and memahami."
"Walau saya tak kenal akak or abang rider tu, terima kasih akak sebab pilih untuk jadi orang baik. Tak semua dapat bantu kita lagi-lagi kalau bukan masalah kita. Saya harap urusan akak dan abang tu dipermudahkan dan dapat rezeki yang melimpah ruah. Semoga yang baik-baik datang kat korang berdua."
Kita mungkin tidak mampu membantu semua orang, tetapi kita sentiasa mempunyai pilihan untuk menjadi insan yang lebih bertolak ansur.
Kadang-kadang, pilihan yang kecil itulah yang mampu membuatkan hari seseorang menjadi jauh lebih baik.