Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gaza Berdepan Krisis Ekonomi Paling Buruk Pernah Direkodkan Di Dunia

Gaza Berdepan Krisis Ekonomi
Kredit: AFP

Gaza kini berdepan krisis ekonomi paling buruk pernah direkodkan di dunia, dengan sembilan daripada 10 perniagaan musnah dan ratusan ribu penduduk kehilangan pekerjaan.

Agensi pembangunan utama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai perkara itu pada Khamis, lapor AFP.

“Keruntuhan ekonomi Gaza merupakan krisis ekonomi paling teruk pernah direkodkan di dunia.

“Ia telah memusnahkan pembangunan selama beberapa dekad dan mencetuskan krisis ekonomi yang amat serius kepada penduduknya,” kata Pemangku Setiausaha Agung Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB (UNCTAD), Pedro Manuel Moreno.

Gaza berdepan krisis ekonomi

Menurut laporan tersebut, sebanyak 92 peratus daripada 'premis ekonomi' di Gaza telah rosak atau musnah.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita harian wilayah itu kini hanya AS$0.58 sehari, manakala harga barangan meningkat 274 peratus berbanding 2022.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan ketenteraan Israel telah meragut lebih 73,000 nyawa dengan angka tersebut dianggap boleh dipercayai oleh PBB.

Serangan berkenaan turut menyebabkan hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal serta merosakkan atau memusnahkan sebahagian besar bangunan di Gaza.

Kredit: AFP

Sebelum Oktober 2023, dua daripada tiga penduduk Gaza hidup dalam kemiskinan.

“Hari ini, semua penduduk Gaza berada dalam kemiskinan multidimensi,” kata penyelaras bantuan UNCTAD kepada rakyat Palestin, Mutasim Elagraa.

Aktiviti perindustrian dan pengeluaran pertanian pula merosot sebanyak 94 peratus, manakala hanya 1.5 peratus tanah pertanian masih boleh diakses.

Keadaan itu menyebabkan penduduk Gaza bergantung sepenuhnya kepada bantuan makanan kemanusiaan.

Menurut laporan itu, konflik tersebut telah memusnahkan ratusan ribu pekerjaan sehingga lebih 90 peratus daripada penduduk Gaza dalam usia bekerja kini menganggur.

Laporan sama turut memperincikan krisis ekonomi dan kewangan di Tebing Barat yang diduduki, termasuk pengurangan akses kepada tanah dan sumber semula jadi yang dikaitkan dengan peluasan penempatan Israel.

Elagraa berkata kerajaan Palestin telah membuat pinjaman besar daripada bank tempatan, menggunakan dana pencen Palestin dan turut mempunyai hutang kepada kontraktor swasta.

Beliau memberi amaran bahawa wilayah Palestin kini berdepan risiko keruntuhan sistem perbankan.

“Implikasi politik, sosial dan kemanusiaannya akan menjadi sangat besar,” katanya.

Sumber:AFP.com
Intipati
  • UNCTAD menyifatkan keruntuhan ekonomi Gaza sebagai krisis ekonomi terburuk pernah direkodkan dunia.
  • Sebanyak 92 peratus premis ekonomi rosak atau musnah, manakala pengangguran melebihi 90 peratus.
  • Penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan makanan selepas industri dan pertanian merosot teruk.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan