‘Usaha’ seorang mekanik yang menyelamatkan kanak-kanak mangsa pedofilia ibarat sia-sia apabila dia berdepan hukuman penjara atas tuduhan membunuh.
Vladimir Sankin, 34, berdepan hukuman penjara selama 15 tahun selepas didakwa membunuh seorang pemangsa pedofilia, Vladimir Zaitsev, 54, dalam satu pergelutan.
Sankin yang juga bakal didakwa minggu depan berkata, “Aku ada pilihan; sama ada lambat atau selamatkan budak itu.
“Yang pastinya semua lelaki akan buat sama apa yang aku buat,” katanya, memetik laporan Mail Online.

Kronologi kejadian
Mengimbas kembali, dua kanak-kanak lelaki (mangsa) yang masing-masing berumur 10 dan 14 tahun pada awalnya terpedaya dengan ajakan Zaitsev untuk menuju ke rumahnya di Bandar Ufa.
Namun lelaki pedofilia terbabit telah memberi mangsa minuman alkohol sebelum menyuruh mereka untuk berbogel.
Lebih malang, mereka diugut akan dibunuh sekiranya berdegil untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun mangsa-mangsa berjaya melarikan diri dari rumah tersebut dan situasi cemas itu disedari Sankin yang berada di situ.
Bertindak pantas demi keselamatan mangsa, Sankin berjaya melindungi mereka dan terus menghubungi pihak polis serta-merta.
Dituduh membunuh
Namun ketika di peringkat perbicaraan di mahkamah, nasib tidak menyebelahi Sankin apabila hasil siasatan jenayah mendapati, kedua-dua mangsa berkenaan sudah pun sempat menyelamatkan diri terlebih dahulu sebelum Sankin menemui mereka.
Malah Sankin pula dituduh melakukan kekerasan ke atas Zaitsev dengan didakwa memukul lelaki pedofilia tersebut dengan sebatang kayu.
Bagaimanapun Sankin mendakwa, Zaitsev terjatuh serta tercedera, kepalanya terhentak ke permukaan tanah yang bersuhu sejuk dan semasa dalam perjalanan ke hospital, pemangsa pedofilia tersebut meninggal dunia.

Sankin bukan pembunuh, tetapi hero
Difahamkan, beberapa kelonggaran hukuman telah dimohon bagi pihak peguam, namun perbicaraan kes selama lapan jam itu tetap menetapkan bahawa Sankin bersalah kerana dianggap membunuh Zaitsev.
Bagaimanapun sebenarnya, punca kematian Zaitsev bukan kerana pukulan dengan tongkat kayu oleh Sankin.
Malah dilaporkan, kematian Zaitsev dipercayai berpunca akibat komplikasi keradangan dingin (frostbite) selepas kepalanya terjatuh di atas tanah bersuhu sejuk.
Kes tuduhan membunuh yang dituduh ke atas Sankin ini mendapat kira-kira 70,000 petisyen bantahan daripada orang awam.
Bagi mereka, Sankin ialah hero penyelamat kanak-kanak itu, maka sebab itulah mereka menolak tuduhan mahkamah tersebut.

Peguamnya, Shota Gorgadze mendesak pihak hakim memerintahkan perbicaraan baharu dengan tuduhan yang lebih rendah kerana keputusan kelonggaran hukuman hanya di bawah kuasa hakim.
“Sankin bertindak seperti lelaki sejati. Dia berlari ke pintu masuk (rumah kejadian) dan menemui seorang pedofilia lalu menyelamatkan kedua kanak-kanak tersebut.
“Pergaduhan meletus dan pedofilia itu akhirnya mati. Mati bukan akibat dipukul, tetapi radang sejuk di kepala. Dan kini Sankin pula di kandang tertuduh,” kata peguam tersebut.
Padanya, dunia sepatutnya bergantung pada lelaki penyelamat seperti Sankin.
Malah tidak cukup dengan itu, pendakwa raya sebelumnya menuduh Sankin merompak Zaitsev ketika pergelutan itu berlaku, tapi tuduhan tersebut ditarik balik.

“Saya tidak fikir anak saya seorang pembunuh. Dia pembela kanak-kanak. Analisis forensik mengatakan Zaitsev mati akibat radang sejuk, bukan kerana dipukul,” tegas ibu Sankin, Galina.
Sankin bakal berdepan hukuman penjara 15 tahun sekiranya didapati bersalas atas tuduhan-tuduhan tersebut, bagaimanapun proses rayuan masih lagi berjalan.
Sumber: Mail Online