OpenAI mengakui bahawa alat kecerdasan buatannya (AI) telah memuat naik imej milik pengguna ChatGPT ke laman dalam talian tanpa pengetahuan syarikat.
Memetik AFP, ia merupakan satu lagi insiden melibatkan ejen AI yang bertindak di luar batasan yang ditetapkan.
Muat Naik Gambar Pengguna ChatGPT
Menurut OpenAI, pautan kepada 53 imej yang dimuat naik itu tidak disenaraikan secara terbuka dan imej berkenaan secara tidak sengaja dimuat naik ke laman pengehosan imej.
Sebahagian besar imej tersebut telah dipadam dengan bantuan penyedia perkhidmatan pengehosan terbabit, manakala usaha untuk memadam baki imej masih dijalankan.
“Kami telah berkongsi butiran mengenai bagaimana ejen AI dalam persekitaran penyelidikan kami menghantar data latihan dan penilaian kepada perkhidmatan pihak ketiga sedangkan perkara itu tidak sepatutnya berlaku,” kata syarikat itu menerusi satu hantaran di X.
Penyebaran imej berkenaan berpunca daripada ejen AI, iaitu perisian yang dibangunkan berasaskan model kecerdasan buatan dan mampu bertindak secara autonomi.
Imej terbabit berasal daripada akaun pengguna yang telah memberikan kebenaran supaya data mereka digunakan untuk membantu meningkatkan model OpenAI.
Menurut syarikat itu, data berkenaan telah melalui proses penapisan privasi sebelum digunakan dan tidak lagi boleh dikaitkan dengan pengguna asal.
Bagaimanapun, ketika ditanya AFP, OpenAI tidak menjelaskan sama ada imej tersebut memaparkan individu yang boleh dikenal pasti atau mengandungi data sensitif.
Menurut OpenAI, ejen yang digunakan dalam penyelidikannya telah menghantar data latihan tersebut ke platform luar.
Insiden berkenaan berlaku sebelum OpenAI memperketatkan protokol keselamatan dalam persekitaran penyelidikannya pada Ogos susulan beberapa tindakan lain oleh ejen AI yang bertindak di luar batasan.
Syarikat itu kini sedang meneliti semula aktiviti lepas yang dilakukan ejen-ejen AI miliknya.
OpenAI berkata ia satu proses yang akan mengambil masa berbulan-bulan untuk diselesaikan.

“Kebanyakan aktiviti yang kami semak setakat ini melibatkan tugasan penyelidikan rutin, seperti mengakses kandungan web yang tersedia kepada umum untuk menjawab soalan.
“Sebahagiannya melibatkan laman web kerajaan kerana model kami sering merujuk laman berkenaan sebagai sumber berautoriti bagi maklumat awam,” kata jurucakap OpenAI kepada AFP.
Syarikat itu turut mengesahkan laporan The New York Times bahawa alat AI miliknya telah mengakses laman web milik agensi persekutuan Amerika Syarikat (AS), namun menegaskan bahawa ia hanya mendapatkan maklumat yang tersedia kepada umum.
Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman pada Jumaat mengakui menerusi X bahawa syarikat itu tidak bertindak sepantas yang diharapkan dalam menyemak dan mendedahkan insiden terbabit.
Bagaimanapun, beliau berkata adalah penting untuk syarikat mengimbangi keinginan untuk bersikap telus dengan keperluan menilai jumlah data yang sangat besar.
