Harga barang dapur yang semakin meningkat membuatkan ramai pengguna mula lebih berhati-hati ketika berbelanja.
Namun, tanpa disedari, beberapa tabiat ketika membeli-belah sebenarnya boleh menyebabkan jumlah perbelanjaan menjadi lebih tinggi.
Menurut tinjauan Omnisend pada Jun membabitkan 1,075 pengguna, sebanyak 30 peratus responden mengakui menggunakan kad kredit untuk membeli keperluan asas seperti barangan dapur walaupun mengetahui mereka mungkin tidak mampu melunaskan bil sepenuhnya.
Dalam pada itu, hampir satu daripada lima orang dewasa dilaporkan menggunakan wang simpanan untuk membeli barangan dapur, manakala hampir satu daripada 20 individu menggunakan wang daripada pinjaman pendahuluan gaji untuk tujuan sama, menurut tinjauan Well-Being and Basic Needs Survey oleh Urban Institute bagi 2025.
Jadi, jika anda mahu mengawal perbelanjaan ketika membeli barang dapur, cuba elakkan 10 kesilapan berikut.
1. Masuk Kedai Tanpa Pelan
Antara kesilapan paling biasa ialah pergi membeli-belah tanpa menyediakan senarai atau perancangan terlebih dahulu.
Sebelum keluar membeli-belah, periksa dahulu barangan yang masih ada di rumah, tentukan jumlah hidangan yang perlu disediakan dan fikirkan keperluan sebenar untuk seminggu.
Menurut penulis buku Don't Think About Dinner, Jenn Lueke, perancangan membolehkan anda memilih menu yang menggunakan bahan sama untuk beberapa hidangan sekali gus memendekkan senarai barangan yang perlu dibeli.
Cara ini juga dapat mengelakkan anda membeli bahan yang sebenarnya masih tersimpan di dalam peti sejuk atau kabinet dapur.
2. Membeli-Belah Ketika Lapar, Penat Atau Tertekan
Keadaan emosi dan fizikal ketika membeli-belah juga boleh mempengaruhi keputusan anda.
Menurut ahli psikologi klinikal berlesen, Dr Lily Kaufmann, keadaan seperti lapar, penat atau tertekan boleh menyebabkan seseorang kurang mampu membuat perancangan dan mengawal dorongan untuk membeli.
Kesannya, anda mungkin memasukkan lebih banyak barangan ke dalam troli, termasuk makanan yang tidak diperlukan.
Jadi, jika boleh, elakkan pergi ke pasar raya ketika terlalu penat, lapar atau sedang mengalami tekanan.
3. Mudah Terjebak Dengan Pembelian Impulsif
Sudah bawa senarai, tetapi apabila sampai di kaunter, troli pula dipenuhi barangan yang tiada dalam senarai.
Untuk mengelakkan perkara ini, jurulatih kewangan Prisca Benson mencadangkan supaya seseorang yang kurang mudah terpengaruh melakukan pembelian bagi pihak anda.
Jika sesuai, perkhidmatan mengambil barangan pesanan juga boleh digunakan. Namun, jika tidak mahu dikenakan kos tambahan, minta ahli keluarga membeli barangan berdasarkan senarai yang telah disediakan.
4. Terlalu Banyak Beli Barang Siap Dipotong Atau Dimasak
Kemudahan memang menjimatkan masa, tetapi selalunya datang dengan harga yang lebih tinggi.
Buah-buahan dan sayur-sayuran yang telah dipotong, sos siap, perapan serta makanan ringan dalam pek kecil boleh menyebabkan anda membayar lebih berbanding membeli bahan dalam bentuk asal.
Jika matlamat utama adalah mengurangkan perbelanjaan, cuba beli bahan mentah dan lakukan kerja penyediaan sendiri di rumah.
Bagaimanapun, jika membeli makanan siap dapat mengelakkan anda memesan makanan di luar kerana terlalu sibuk, pilihan itu masih boleh dipertimbangkan mengikut keadaan dan bajet masing-masing.
5. Terlalu Kerap Ke Pasar Raya
Pergi ke pasar raya setiap hari untuk membeli satu atau dua barang mungkin nampak seperti perkara kecil.
Namun, semakin kerap anda memasuki kedai, semakin tinggi peluang untuk mengambil barangan tambahan yang tidak dirancang.
Jika keadaan mengizinkan, cuba hadkan pembelian kepada sekali seminggu dengan menyediakan menu dan senarai barangan terlebih dahulu.
Bukan sahaja boleh menjimatkan wang, malah masa dan tenaga juga dapat dijimatkan.
6. Tak Periksa Kabinet Dan Peti Sejuk Sebelum Keluar
Pernah beli tepung atau beras, kemudian baru sedar stok masih ada di bahagian belakang kabinet?
Menurut penulis buku masakan dan pencipta kandungan makanan, Christina Musgrave, keadaan ini kerap berlaku apabila bahan seperti beras, pasta, quinoa, tepung, biji chia atau vanila tersimpan di tempat yang jarang diperiksa.
Jadi, sebelum menyediakan senarai belian, luangkan masa beberapa minit untuk memeriksa kabinet, peti sejuk dan ruang penyimpanan makanan.
7. Abaikan Promosi Ketika Merancang Menu
Sudah ada senarai belian? Jangan terus ke pasar raya.
Semak terlebih dahulu promosi yang sedang ditawarkan dan lihat sama ada barangan berkenaan boleh dimasukkan dalam perancangan menu mingguan.
Jika terdapat barangan yang sesuai untuk disimpan lebih lama dan anda mempunyai ruang dalam peti sejuk, pembelian ketika harga promosi juga boleh membantu menjimatkan perbelanjaan.
8. Tak Manfaatkan Pembelian Protein Dalam Kuantiti Lebih Besar
Daging dan ikan dalam kuantiti lebih besar boleh menjadi pilihan untuk menjimatkan kos, bergantung kepada saiz keluarga dan kemampuan penyimpanan.
Sebagai contoh, satu filet salmon boleh digunakan untuk beberapa menu berbeza seperti salmon bakar, mangkuk nasi salmon dan salad.
Begitu juga dengan ayam atau ayam belanda seekor yang boleh digunakan untuk lebih daripada satu hidangan, termasuk menghasilkan stok atau sup daripada tulangnya.
9. Abaikan Program Kesetiaan Kedai
Jangan lupa bertanya sama ada pasar raya kegemaran anda mempunyai program keahlian atau ganjaran.
Sesetengah kedai menawarkan harga istimewa, kupon digital, tawaran peribadi atau mata ganjaran menerusi aplikasi dan akaun kesetiaan.
Sebelum membuat bayaran, luangkan sedikit masa untuk menyemak aplikasi atau akaun keahlian bagi melihat tawaran yang boleh digunakan.
10. Biarkan Lebihan Makanan Tidak Terusik
Makanan yang dibeli tetapi akhirnya tidak dimakan juga bermakna wang yang dibelanjakan terbuang begitu sahaja.
Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), rakyat Amerika membazir antara 30 hingga 40 peratus makanan setiap tahun.
Jadi, sebelum membeli barang dapur, fikirkan semula jumlah makanan yang benar-benar diperlukan dan cuba habiskan lebihan makanan yang masih elok sebelum menyediakan hidangan baharu.
Kesimpulannya, berjimat ketika membeli barang dapur bukan semata-mata mencari harga paling murah.
Perancangan menu, semakan stok di rumah, mengawal pembelian impulsif dan memanfaatkan promosi boleh membantu memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan benar-benar berbaloi.

