Pengacara dan pelakon, Fikry Ibrahim mengesahkan dirinya dan bekas isteri telah berpisah sejak 173 hari lalu selepas memilih untuk mengambil masa sebelum berkongsi perkara berkenaan kepada umum.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Fikry berkata, keputusan untuk tidak mendedahkan perkara itu lebih awal bukan kerana mahu menyembunyikannya, sebaliknya dia memerlukan ruang untuk mengumpul kekuatan serta menerima ketentuan Allah.

Katanya, tiada pihak yang perlu dipersalahkan atas perpisahan berkenaan kerana setiap perjalanan hidup mempunyai ketentuan tersendiri.
“Saya memilih untuk mengambil sedikit masa sebelum berkongsi kerana ada perkara yang lebih baik disimpan dan dilalui dengan tenang. Bukan kerana mahu menyembunyikan, tetapi kerana saya perlukan ruang untuk mengumpul kekuatan dan menerima ketentuan-Nya,” katanya.
Menurut Fikry, ada perjalanan yang Allah izinkan untuk dilalui bersama sebelum akhirnya membawa mereka ke jalan berbeza.
“Tiada siapa yang perlu dipersalahkan. Ada perjalanan yang Allah izinkan untuk kita tempuh bersama, dan ada perjalanan yang akhirnya membawa kita ke jalan yang berbeza,” ujarnya.
Dalam hantaran sama, Fikry turut menitipkan doa buat bekas isterinya agar sentiasa berada dalam lindungan Allah, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam kehidupan.
“Saya doakan semoga dia sentiasa dipelihara Allah, dipermudahkan segala urusannya, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.
“Dan saya juga berdoa agar Allah memberikan saya ketenangan, kekuatan dan kebahagiaan untuk meneruskan kehidupan,” katanya.
Fikry berkata, meskipun mereka kini tidak lagi bersama, bekas isterinya tetap menjadi seseorang yang pernah dicintai dan sebahagian daripada perjalanan hidupnya.
“Walaupun kini kami tidak lagi bersama, dia tetap pernah menjadi seseorang yang saya cintai dan pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.
“Untuk itu, saya memilih untuk mengenangnya dengan doa, dan terima kasih kerana pernah menjadi isteri saya,” katanya.
Beliau turut berharap agar Allah mengampuni segala kekurangan mereka dan menggantikan setiap perkara yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik.
“Semoga Allah menjaga kita masing-masing, mengampuni segala kekurangan, dan menggantikan setiap yang telah berlalu dengan sesuatu yang lebih baik,” katanya.

