Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

FIFA Sahkan Jadi Mangsa Serangan Siber, Data Peribadi & Perniagaan Dicuri

FIFA
Kredit: AFP

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan bahawa pihaknya menjadi mangsa serangan siber yang mengakibatkan maklumat peribadi dan perniagaan dicuri, lapor BBC Sport.

Bagaimanapun, kebocoran data itu tidak melibatkan sebarang dokumen berkaitan cadangan kontroversi FIFA Forward Enterprise, iaitu rancangan Presiden FIFA, Gianni Infantino untuk menjual kepentingan dalam Piala Dunia yang gagal direalisasikan.

Insiden itu difahamkan bukan berpunca daripada kegagalan sistem atau teknologi badan induk bola sepak dunia tersebut, sebaliknya penjenayah berjaya mendapatkan akses kepada dokumen berkenaan dengan menyamar dan mengambil kesempatan terhadap kakitangan.

“FIFA mengesahkan bahawa telah menjadi mangsa serangan jenayah siber yang mengakibatkan akses tanpa kebenaran kepada sejumlah terhad maklumat peribadi dan perniagaan.

“FIFA sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan, termasuk agensi penguatkuasaan undang-undang.

“FIFA mengecam sekeras-kerasnya tindakan memperoleh dan menerbitkan maklumat secara tidak sah, khususnya data peribadi.

“Tindakan sedemikian merupakan pelanggaran privasi yang serius dan tidak boleh diterima, selain boleh membawa kesan yang besar kepada individu terlibat,” kata FIFA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Handsome Boy Hacking Club mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu menerusi Internet, selepas memuat naik tangkap layar fail FIFA pada minggu lalu.

Kumpulan berkenaan mendakwa berjaya memperoleh akses kepada 12 gigabait (GB) data.

Hasil analisis menunjukkan jumlah itu kurang daripada 0.1 peratus daripada keseluruhan data yang dimiliki FIFA, manakala serangan tersebut menyasarkan organisasi berkenaan dan bukannya individu.

Sumber:BBC Sport
Intipati
  • FIFA mengesahkan sejumlah terhad maklumat peribadi dan perniagaan diakses tanpa kebenaran.
  • Kebocoran itu tidak melibatkan dokumen berkaitan cadangan kontroversi FIFA Forward Enterprise.
  • Handsome Boy Hacking Club mengaku bertanggungjawab dan mendakwa memperoleh 12GB data FIFA.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan