Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

FAM Nafi Sekeras-kerasnya Dakwaan Gagal Bentang Laporan Audit Kewangan Sejak 2016

Sofea
FAM Nafi
Kredit: Bernama

FAM Nafi Sekeras-kerasnya Dakwaan Gagal Bentang Laporan Audit Kewangan Sejak 2016

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menafikan dakwaan pihak tertentu yang menyatakan bahawa badan induk itu gagal membentangkan laporan audit kewangan sejak tahun 2016.

Menerusi satu kenyataan, FAM menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan dan tohmahan tersebut dan memperjelaskan beberapa fakta.

Menurut FAM, pihaknya sentiasa mematuhi Statut yang telah diperuntukkan.

"FAM sentiasa membentangkan Laporan Kewangan yang diaudit dalam setiap Kongres Tahunan, termasuk yang terbaharu iaitu Laporan Kewangan bagi tahun berakhir 31 Disember 2025 yang telah dibentangkan pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2026, Khamis lalu selaras dengan peruntukan Statut FAM.

"Setiap laporan kewangan tahunan wajib melalui proses semakan dan kelulusan di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan FAM serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM sebelum dibawa ke Kongres Tahunan untuk kelulusan muktamad," katanya.

FAM juga menjelaskan bahawa Selain juruaudit bertauliah tempatan, kewangan FAM turut diaudit secara tahunan oleh juruaudit Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ia merupakan syarat wajib memandangkan FAM menerima peruntukan dana daripada kedua-dua badan induk dunia dan Asia tersebut.

"Sejurus mendapat kelulusan kongres, laporan kewangan tersebut akan dihantar secara rasmi kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) melalui sistem MyKBS bagi mendapatkan kelulusan," katanya lagi.

Dalam kenyataan itu, FAM turut memperjelaskan isu berkaitan pembentangan bajet tahunan bagi tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Kredit:Bernama

"Susulan ketiadaan peruntukkan dalam Statut FAM pada tempoh 2020 hingga 2022, bajet tahunan tidak dibentangkan ddalam kongres.

"Walaubagaimanapun, bajet berkenaan tetap dibentang, disemak, dan disahkan secara telus di peringkat Jawatankuasa Kewangan dan Pengurusan serta Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) FAM untuk kelulusan.

"Selaras dengan cadangan badan induk bola sepak dunia, FIFA, agar bajet tahunan dibentangkan dalam kongres, FAM telah meminda statutnya pada tahun 2023 bagi menambah baik tadbir urus kewangan.

"Bagaimanapun, FAM mengakui terdapat kekhilafan dalam pelaksanaan pembentangan bajet tahunan berkenaan bagi tahun 2023, 2024 dan 2025," ujarnya.

FAM berkata pihaknya memandang serius perkara ini dan komited untuk memastikan proses tadbir urus pembentangan bajet kembali teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Komitmen FAM dalam mempertahankan tahap ketelusan, akauntabiliti, dan tadbir urus yang tinggi terbukti menerusi pencapaian penarafan lima bintang oleh Pesuruhjaya Sukan selama lima tahun berturut-turut (2018 hingga 2022).

"FAM turut mendapat pengiktirafan tertinggi di rantau Asia apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Dream Asia AFC 2019 kategori Inspirasi (Gangsa) serta diangkat sebagai diantara tiga persatuan bola sepak terbaik di rantau Asia bagi kategori Pembangunan Akar Umbi pada Anugerah AFC ke-29 di Riyadh tahun lalu," katanya.

Selain itu, FAM turut meluahkan rasa kesal dengan cubaan pihak tertentu yang cuba menimbulkan spekulasi negatif tanpa menyemak fakta sahih.

"FAM akan terus komited menjaga nama baik bola sepak negara melalui pengurusan yang telus, berintegriti, dan sentiasa bersedia menambah baik sebarang kelemahan," katanya.