SIK, 21 Nov (Bernama) -- Dua beradik berusia tiga tahun dan setahun empat bulan ditemukan rentung dalam keadaan berpelukan dalam kebakaran di Kampung Teloi Tua dekat sini, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah dalam kenyataan memaklumkan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Sik tiba di lokasi pada 6.27 pagi.
“Kebakaran melibatkan sebuah bangunan dengan kemusnahan dianggarkan 90 peratus. Dua mangsa ditemukan di atas katil dan disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan itu.
Timbalan Ketua Zon 2 JBPM Kedah Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias berkata kebakaran melibatkan bangunan berukuran kira-kira 20x10 kaki yang mempunyai satu ruang pejabat dan bilik air di bahagian luar.
Beliau berkata siasatan forensik akan dijalankan di lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Kami juga akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berdekatan bagi mendapatkan maklumat berhubung kejadian,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Bryan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.11 pagi dan kebakaran berjaya dikawal kira-kira lima minit selepas bomba tiba di lokasi.
Operasi juga melibatkan Pasukan Bomba Sukarela, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan.

