Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Monsun Barat Daya Bermula Esok, Apa Yang Bakal Kita Hadapi Sepanjang Tempoh Ini?

Aina Munirah
Monsun Barat Daya
Kredit: Bernama

Monsun Barat Daya Bermula Esok, Apa Yang Bakal Kita Hadapi Sepanjang Tempoh Ini?

Fenomena alam semula jadi sering berlaku di seluruh dunia dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Ia merangkumi pelbagai kejadian seperti gempa bumi, ribut, banjir, kemarau, tsunami dan juga perubahan musim yang mempengaruhi keadaan cuaca.

Ada fenomena yang berlaku secara perlahan, manakala ada juga yang terjadi secara tiba-tiba sehingga memberi kesan besar kepada manusia dan alam sekitar.

Salah satu fenomena alam semula jadi yang sering berlaku di rantau Asia Tenggara ialah monsun. Secara umumnya, monsun terbahagi kepada dua yang utama iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya.

Justeru, hari ini SK akan kongsikan mengenai Monsun Barat Daya dan apa yang perlu rakyat Malaysia hadapi sepanjang tempoh ini.

Apa yang menyebabkan monsun?

Terlebih dahulu, mari kita selidiki apa sebenarnya yang menyebabkan monsun. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), monsun berlaku disebabkan oleh perbezaan suhu di antara daratan dan lautan hasil daripada pemanasan sinaran matahari.

Semasa musim sejuk, kawasan daratan benua menyejuk dengan lebih cepat dan menyebabkan suhu yang amat rendah di Asia Tengah.

Keadaan ini juga akan menyebabkan tekanan atmosfera meningkat dan membentuk sistem tekanan tinggi (antisiklon) yang sangat kuat di Siberia.

"Akibatnya, udara sejuk bergerak keluar dari Siberia sebagai angin barat laut dan seterusnya bertukar menjadi angin timur laut apabila tiba di perairan pantai China sebelum menuju ke Asia Tenggara," kata METMalaysia.

Kredit: Bernama

Dari semasa ke semasa, ledakan udara sejuk yang kuat (luruan monsun) ini saling bertindak dengan sistem tekanan rendah dan pusaran siklon yang terbentuk berhampiran Khatulistiwa, menghasilkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan serta hujan lebat khususnya di pantai timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan timur Sabah.

Pada musim panas, pemanasan sinaran matahari yang kuat membawa kepada peningkatan suhu di kawasan daratan Asia. Semasa udara panas mengembang naik, kawasan tekanan rendah separa tetap terbentuk.

Angin tenggara lembap yang berasal dari selatan Lautan Hindi dan rantau Indonesia-Australia bertukar menjadi angin barat daya apabila merentasi Khatulistiwa.

Angin ini seterusnya bergerak merentasi Asia Tenggara sebelum menumpu ke arah Indochina, China dan Barat Laut Pasifik.

Monsun Barat Daya

Menurut METMalaysia, bermula 14 Mei hingga September 2026, fenomena monsun barat daya dijangka akan berlaku dan ini menandakan berakhirnya fasa peralihan monsun yang bermula sejak 29 Mac 2026.

Selain itu, angin barat daya yang bertiup ke negara kita ini mempunyai kelembapan udara yang rendah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan juga, kadar kelembapan udara yang rendah menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Kredit: Bernama

Apa yang bakal kita hadapi?

  1. Negara akan menerima taburan hujan yang lebih rendah berbanding tempoh lain

  2. Bilangan hari tanpa hujan adalah lebih banyak berbanding bilangan hari hujan di kebanyakan negeri

  3. Hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih boleh berlaku di kawasan pantai barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah, terutamanya pada awal pagi berikutan kehadiran fenomena garis badai (squall line). Ia diramal berlarutan sehingga beberapa jam.

Kredit: METMalaysia

Ciri-ciri monsun

Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali negeri Sabah di Malaysia Timur.

Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 - 150mm. Bukan itu sahaja, keadaan ini menunjukkan keadaan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa.

Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera.

Tambah METMalaysia lagi, Sabah secara relatifnya lebih lembap (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina semasa perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.

Malah, semasa fasa peralihan monsun, angin adalah lemah dan dari pelbagai hala. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini telah membantu pembentukan ribut petir pada sebelah petang.

Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menghasilkan purata hujan bulanan maksimum semasa kedua-dua musim peralihan monsun.

"Nasihat-nasihat dan amaran-amaran cuaca buruk ini akan disebarkan melalui laman web, media massa, media sosial dan aplikasi mudah alih (myCuaca)," kongsi METMalaysia lagi.