Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

DBKL Nafi Dakwaan Hampir 500 Penguat Kuasa Dilarang Ambil Tindakan Terhadap Premis Tertentu

DBKL
Kredit: Bernama

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya hampir 500 anggota penguat kuasanya tidak dibenarkan mengambil tindakan terhadap premis tertentu, termasuk yang dikendalikan warga asing.

DBKL berkata, tiada sebarang arahan dikeluarkan bagi menghalang anggota penguat kuasa daripada mengambil tindakan terhadap mana-mana kesalahan yang berada di bawah bidang kuasanya.

Menurut DBKL dalam satu kenyataan hari ini, pembahagian tugas antara jabatan dan anggota penguat kuasa dilaksanakan bagi memastikan setiap tindakan dibuat mengikut fungsi serta peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Jelasnya, pembahagian tugas berkenaan bukan bertujuan menyekat atau menghalang anggota daripada melaksanakan tanggungjawab penguatkuasaan.

“Bagi kes yang melibatkan bidang kuasa agensi lain, DBKL akan mengambil tindakan dalam ruang kuasanya dan menyelaras tindakan bersama agensi berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan tindakan penguatkuasaan dibuat berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan bukannya berdasarkan individu atau pihak yang mengendalikan sesuatu premis.

Sehubungan itu, DBKL akan membuat laporan polis berhubung hantaran yang tular berkenaan bagi membolehkan dakwaan tersebut disiasat oleh pihak berkuasa.

Pada masa sama, DBKL memandang serius sebarang dakwaan berkaitan salah laku atau arahan yang boleh menjejaskan pelaksanaan tugas penguatkuasaan.

“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat atau bukti khusus berhubung dakwaan tersebut boleh mengemukakannya kepada DBKL untuk diteliti,” menurut kenyataan itu lagi.

DBKL turut menegaskan bahawa penguatkuasaan dilaksanakan tanpa pilih kasih serta berlandaskan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.