Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Dari Belajar Menerusi Buku Hingga Siap Lima Bot, Ini Hobi Unik Tun M

hobi
Kredit: Threads amofficialmy
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai hobi yang agak berbeza daripada kebanyakan individu, iaitu bertukang sehingga pernah membina bot sendiri.

Iklan

Perkara itu dikongsikan oleh pengguna Threads, @amofficialmy, yang menceritakan minat Tun Mahathir terhadap kerja pertukangan serta sifat ingin tahu beliau sejak zaman kanak kanak.

Menurut perkongsian itu, Tun Mahathir bukanlah seorang peminat golf walaupun pernah melihat orang Barat bermain sukan berkenaan ketika zaman kecilnya di Alor Setar, Kedah.

Ketika itu, beliau dikatakan sering berbasikal untuk melihat orang Barat bermain golf, manakala kanak kanak Melayu hanya mampu menyaksikannya dari luar kawasan.

Namun, apabila dewasa dan menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tetap tidak menjadikan golf sebagai hobinya. Sebaliknya, beliau lebih gemar menghabiskan masa dengan bekerja.

Malah, sepanjang 22 tahun menerajui negara, beliau dikatakan tidak pernah mengambil cuti penuh.

Setiap kali pulang daripada lawatan ke luar negara, beliau akan terus kembali bertugas di pejabat pada hari yang sama.

Beliau juga jarang meluangkan masa menonton perlawanan bola sepak atau badminton, manakala aktiviti menunggang kuda hanya dilakukan kira kira sekali seminggu.

Menurut perkongsian itu, perkara yang paling menggembirakan Tun Mahathir adalah apabila melihat idea dan dasar yang dirancang berjaya dilaksanakan.

Bagaimanapun, minatnya terhadap kerja pertukangan semakin terserlah ketika mempunyai lebih banyak masa lapang selepas disingkirkan daripada UMNO pada 1969.

Ketika itu, beliau dikatakan mempunyai kebun rambutan di belakang rumahnya di Titi Gajah yang terletak berhampiran sungai.

Hasrat untuk menggunakan bot bagi ke kebun berkenaan mendorong beliau mencuba sesuatu yang baharu dengan membina bot sendiri.

Menariknya, Tun Mahathir mendapatkan pelan pembinaan bot dari Amerika Syarikat sebelum mempelajari teknik menggunakan bahan gentian kaca atau fiberglass menerusi buku dan majalah.

Hasil usaha tersebut, beliau berjaya menghasilkan lima buah bot yang masing masing dinamakan sempena nama anak anaknya.

Bot terakhir yang dibinanya merupakan sebuah bot berkabin sepanjang 26 kaki.

Malah, beliau pernah membawa anak anaknya belayar sehingga ke Pulau Payar, Kedah.

Pengalaman itu turut mencetuskan kebimbangan nelayan di Kuala Kedah yang dikatakan risau bot berkenaan mungkin tenggelam sehingga ada antara mereka mengikuti perjalanan bot tersebut menggunakan bot sendiri.

Selain bertukang dan membina bot, Tun Mahathir juga dikatakan mempunyai sifat ingin tahu yang tinggi terhadap cara sesuatu benda berfungsi.

Ketika kecil, beliau pernah membuka jam untuk mengetahui bagaimana mekanisme di dalamnya berfungsi sehingga menyebabkan jam berkenaan tidak dapat dipasang semula.

Beliau turut pernah menghasilkan candelier daripada besi, mereka bentuk sendiri katil untuk bilik pengantin serta mencuba meleburkan besi di rumah sehingga berlaku letupan kecil.

Menariknya, percubaan tersebut dilakukan tanpa pengetahuan orang lain.

Perkongsian itu mengundang perhatian pengguna Threads yang turut memberikan reaksi terhadap minat dan kemahiran pertukangan bekas Perdana Menteri berkenaan.

Meninjau ruangan komen, pengguna Threads @carothijau menyamakan minat Tun Mahathir terhadap pertukangan dengan tokoh lain yang turut mempunyai kecenderungan sama.

“Tun macam Khalifah Sultan Abdul Hamid, wali Allah. Baginda pun suka bertukang,” katanya.

Sementara itu, @jayjoelh pula mengaitkan sifat ingin tahu dan minat Tun Mahathir terhadap pelbagai perkara dengan ketajaman pemikirannya.

“Itulah sebabnya beliau masih tajam pemikirannya walaupun sudah melepasi usia 100 tahun,” katanya.

Kredit: Threads designerreka

Dalam pada itu, @designerreka berkongsi bahawa orang ramai boleh melihat sendiri ruang yang pernah digunakan Tun Mahathir untuk melakukan kerja pertukangan di Galeri Seri Perdana.

“Dapat pergi ke Galeri Seri Perdana. Inilah ruang untuk Tun M bertukang,” kongsinya.

Sumber:Threads
Intipati
  • Perkongsian Threads menceritakan hobi bertukang Tun Dr Mahathir Mohamad sejak usia muda.
  • Beliau dikatakan mempelajari teknik fiberglass melalui buku dan majalah sebelum membina lima bot.
  • Pengguna Threads turut berkongsi reaksi mengenai minat pertukangan dan sifat ingin tahu beliau.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan