Umum ketahui, sejak pelaksanaan subsidi petrol bersasar menerusi BUDI MADANI RON95 (BUDI95), MyKad bukan lagi sekadar digunakan sebagai dokumen pengenalan diri.
Bagi rakyat Malaysia, MyKad turut digunakan sebagai alat pengesahan kelayakan untuk mendapatkan petrol RON95 pada harga bersubsidi di stesen minyak.
Pengguna hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di terminal stesen minyak yang disediakan sebelum membuat pembayaran dan mengisi minyak seperti biasa.
Namun, bermula 17 September 2026 hari ini, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mula mengeluarkan MyKad Generasi Baharu di 40 cawangan JPN.
Selain menerima beberapa penambahbaikan daripada segi reka bentuk, teknologi dan ciri keselamatan, terdapat satu perubahan fizikal yang mungkin membuatkan pengguna sedikit keliru ketika pertama kali menggunakannya di terminal stesen minyak.
Cip MyKad Kini Ada Di Bahagian Belakang
Sekiranya anda masih menggunakan MyKad versi terdahulu, pasti sudah biasa melihat cip berada di bahagian hadapan kad.
Tetapi pada MyKad Generasi Baharu, kedudukan cip tersebut telah dipindahkan ke bahagian belakang kad.
Perubahan kecil ini mungkin nampak tidak begitu penting, tetapi ia boleh menimbulkan persoalan dan kekeliruan dalam penggunaan BUDI95 di stesen minyak.
Macam Mana Nak Guna Untuk Isi Minyak Mykad Baharu?

Sebenarnya caranya masih mudah dan proses mendapatkan subsidi BUDI95 tidak banyak berubah.
Pertama, masukkan jumlah pembelian minyak seperti biasa pada terminal.
Buat pembayaran menggunakan kaedah yang tersedia di stesen minyak sebelum mengisi minyak seperti biasa.
Seterusnya, apabila diminta untuk membuat pengesahan menggunakan MyKad, terbalikkan MyKad Generasi Baharu supaya kedudukan cip berada pada bahagian yang betul untuk dibaca oleh terminal.

Masukkan kad ke terminal dan tunggu sehingga proses pengesahan selesai dan boleh isi minyak seperti biasa.
Langkah Mudah
Pilih jumlah minyak
Buat Bayaran
Masukkan Mykad dengan kedudukan cip yang betul
Tunggu Pengesahan
Isi Minyak
Pembayaran bagi pembelian bahan api ini masih boleh dibuat menggunakan kaedah pembayaran yang disediakan di stesen minyak seperti tunai, kad kredit, kad debit atau e-dompet terpilih.
Jadi, kalau anda dah dapat MyKad baharu, perhatikan dulu cip sebelum masukkan kad. Senang je kan?
