Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Cetus Tanda-Tanya, FINAS Beri Penjelasan Berhubung Penamatan Tayangan Filem Konspirasi
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memberikan penjelasan berhubung penamatan tayangan filem Konspirasi di seluruh pawagam Malaysia mulai 28 Mei 2026 hari ini.
Ia susulan persoalan dan tanda-tanya yang dibangkitkan oleh sebahagian pelakon dalam filem berkenaan mengenai isu berkenaan.
Menurut FINAS, penamatan filem berkenaan adalah atas permintaan penerbit filem berkenaan sendiri.
"FINAS menerima maklumat berhubung perkara tersebut hari ini daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) serta Media Prima Berhad selaku pengedar filem yang berurusan dengan pihak pemamer (pawagam).
"Berdasarkan emel daripada pihak penerbit yang dikongsikan kepada FINAS, penerbit filem tersebut, Elepfilm Entertainment Sdn. Bhd., telah meminta supaya tayangan filem Konspirasi ditamatkan bermula pada tarikh berkenaan.
"Semakan FINAS dengan pengedar dan pemamer filem mendapati, penamatan tayangan tersebut adalah atas permintaan penerbit sendiri dan tidak melibatkan sebarang arahan daripada mana-mana pihak.
"FINAS mengesahkan bahawa filem Konspirasi telah memperoleh kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF) sebelum diberikan kelulusan di bawah Skim Wajib Tayang pada 14 Mei 2026.
"Filem tersebut mula ditayangkan pada 21 Mei 2026 di 120 skrin pawagam seluruh negara.
"Sehubungan itu, FINAS menghubungi penerbit bagi mendapatkan penjelasan dan maklumat lanjut berhubung keputusan penamatan tayangan tersebut.
"Namun, sehingga kini penerbit masih belum dapat dihubungi meskipun beberapa usaha telah dilakukan," maklum kenyataan itu.
Tambah Finas, pihaknya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkaitan dan akan memaklumkan sebarang perkembangan dari semasa ke semasa.